Tuesday, March 25, 2008

Laporan Polis dalam Sejarah Negara


Menurut berita, PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis terhadap pemimpin tertinggi Umno dan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang mereka sifatkan sebagai tidak menghormati keputusan Istana Terengganu berhubung isu pelantikan Menteri Besar.

Faris kemudian memberitahu pemberita, laporan itu dibuat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, dan 23 ADUN yang telah membantah keputusan pelantikan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said oleh Sultan Terengganu, sebagai Menteri Besar negeri itu.

Sehingga hari ini, sudah berbilion dan mungkin trilion (macam nilai projek-projek koridor kerajaan Imam Hadhari) agaknya jumlah laporan polis sejak lebih 50 tahun lalu. Tiada siapa yang mahu ambil tahu jumlah laporan polis yang pernah dibuat disamping membuat statistik mengenai susulan dari laporan polis.

Selalunya, seperti yang dipaparkan media, laporan polis yang dibuat oleh UMNO/BN dan polis sendiri terhadap pembangkang atau yang dianggap pembangkang begitu cepat diambil tindakan.

Adakalanya, kalau tiada sesiapa membuat laporan, pihak polis sendiri membuat laporan polis bagi menghalalkan tindakan.

Manakala, laporan polis yang dibuat oleh pihak pembangkang atau yang dianggap kaki pembangkang selalunya tiada susulan apa-apa, melainkan menjadi arkib untuk bahan sejarah. Lebih dari itu, pihak polis kadang-kadang dikatakan enggan mengambil laporan polis sekiranya dianggap sensitif untuk UMNO/BN.

Malah seperti yang diketahu umum, telah begitu banyak laporan polis mengenai rasuah, penyelewengan, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan khianat di pihak kerajaan dan parti UMNO/BN yang telah dibuat.

Walhasilnya, sekadar catatan laporan polis semata-mata.



Membuat laporan polis adalah sebahagian dari undang-undang yang melitupi pelbagai urusan. Termasuk untuk urusan bisnes, insuran kalau ada kemalangan/kecurian sehingga isu-isu politik.

Ada juga yang menjadi glamour apabila membuat laporan polis. Pihak media mengambil gambar dan menjadi berita besar, terutama bila ada kumpulan NGO atau individu Melayu yang membuat laporan polis mengenai ketuanan Melayu, DEB dan menghina PM yang banyak gambarnya mengantuk dan tidur semasa majlis rasmi.

Tiba-tiba banyak pula NGO Melayu yang ada di Malaysia dan hanya aktif untuk membuat laporan polis!



Ada baiknya sesiapa yang berminat untuk mendapat PhD, boleh mengkaji keberkesanan laporan polis terhadap kerajaan dan parti UMNO/BN. Seperti mana seorang menteri baru yang bernama 'Dr'. Zahid Hamidi membuat kajian dan tesis "Barisan Nasional Manifesto As Agenda for Malay Language Newspaper During the General Election Campaign”.

Tidak perlu bersusah payah dengan laporan polis sejak 50 tahun lalu, cukup sebaik Pak Lah menjadi PM sehingga Pak Lah menjadi ketua pembangkang tidak lama lagi, kalau begitu ditakdirkan Allah!

No comments: