Monday, February 18, 2008

Perjuangan Yang Tidak Pernah Selesai



Mantan PM yang kini menjadi pengkritik keras kepada PM hari ini, pernah bersajak mengenai perjuangan yang belum selesai. Manakala PM yang baru sepenggal juga bersajak untuk mencari damai di hati, termasuk mencari Ghazali dan Shafie.

Sajak memang boleh menyentuh emosi. Tetapi realitinya, mereka bersajak lebih sebagai propaganda politik. Walau ada yang tersebak dan menitiskan airmata terutama buat mereka yang mahu mengampu, tiada kesan yang menusuk apabila dilihat siapa mereka yang bersajak itu.

Sebagai manusia biasa, kedua yang menjadi PM mempunyai kekuatan dan kelemahan. Semasa dalam pemerintahan, dengan manipulasi media dan jentera kerajaan, serta spin doctors, terserlah kekuatan.

Mantan PM memerintah selama 22 tahun, disebalik pembangunan yang dikatakan hebat belaka untuk rakyat dan negara, tentunya ada kesan lain yang boleh kita nampak pada hari ini. Kekuatan PM sekarang mungkin masih belum menonjol kerana kelemahan yang terlalu ketara.

Kelamahan yang menjadikan rakyat terus bimbang terutama mengenai kehidupan harian yang semakin mencabar. Tidak begitu signifikan buat mereka yang berkedudukan tinggi. Jurang antara yang kaya raya dan papa kedana semakin ketara walaupun statistik kerajaan memaparkan penurunan kemiskinan tegar. Siapa percaya pada statistik rasmi yang lebih kepada kosmetik?

Pelbagai isu semasa menyerlahkan lagi kelemahan pentadbiran yang dikatakan, 'kerajaan tiga beranak'. Tidak perlu diperincikan kerana pelbagai media alternatif dan blog sudah mendedahkan segalanya. Sudah tersebar merata planet walaupun ZAM terus berusaha untuk memutihkan yang hitam melalui stesen TV dan radio kepunyaan rakyat (bukan kepunyaan BN atau mak bapak dia orang).

Walau apapun kemeriahan di dunia siber, sukar untuk menyentuh mereka yang jauh dari corridors of power, yang ketika ini akan menjadi raja dengan umpanan pelbagai janji manifesto serta, ugutan dalam pelbagai bentuk propaganda. Prioriti adalah perjuangan harian untuk mencari sesuap nasi tidak akan selesai.

Jutaan di luar sana, sama ada mengundi atau tidak, sama ada akan diwakili oleh pengundi hantu atau membuang undi rosak, tidak banyak perubahan akan berlaku.

Tidak mungkin berubah sekelip mata dengan koridor ekonomi yang mencecah trilion dilancarkan di merata kawasan. Menenggelamkan pelbagai projek mega zaman Mahathir, serta RMK9 yang seolah-olah tidak ujud lagi.

Saya tersentuh membaca luahan bakal calun Parlimen P8 Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin melalui blog Zul4kulim.


It looks tough..it sounds tough..(peh..macam bunyi Lingam pulak.. it sounds like me..looks like me..but it is not me..). But I find it very encouraging bila jumpa orang-orang kampong ni.

Ada satu nyonya penjual buah potong-potong dekat rumah persinggahan saya di Kulim. Tiap kali saya lalu dia hulur sebungkus buah pada saya..you know sebungkus dia hantar margin profit dia drop tau..

Di satu tempat di sebuah estet, satu orang aci jumpa saya masa buat lawatan. Dia pegang saya nala punya kuat..saya ingat dia nak ambik saya buat menantu. Tapi dia kata dia nak tolong saya..dia kata dia tahu saya takkan menang tapi dia mahu
saya bawa suara orang kampong ke Parlimen. Dia buka dompet kecil dia..saya
ingat dia nak hulur sireh. Tau tau dia bagi saya 30sen..itu sahaja yang dia mampu.

Kalian tahu, nak menangis saya dibuatnya.. here one old Indian lady sacrificing her lunch money for me. It may not be a lot for most of you..but I tell you.. if you see their living condition..it is big sacrifice on her part to give me that 30 sen. You can see into her eyes..the eyes of hope..hoping that their little voices are heard.

Dan itulah perjuangan saya untuk membawa suara rakyat bawahan..suara marhaen..tangisan pak tani..rintihan aci, keluhan nyonya..biar suara-suara kerdil itu menggegar jiwa rakus di Parlimen sana..biar suara keramat marhaen merentas bumi.



Suara rakyat bawahan, tidak kira bangsa dan agama serta kawasan, sudah lama sepi di Parlimen sejak dikuasai sepenuhnya oleh segolongan elit. Isu-isu yang ditimbulkan lebih remeh-temeh dan mengarut. Sebab itu tiada siaran langsung kerana PM yang memegang tiga kementerian sendiri mempunyai rekod kehadiran terburuk. Lebih banyak masa berada dalam kapalterbang dari dalam parlimen.


Lebih ramai yang layak menjadi badut sarkis. Tidak langsung signifikan dalam memperjuangkan suara-suara marhaen diwakili. Sekadar rubber-stamp kerana tiada demokrasi dalam pihak pemerintah, semua mesti ikut dasar parti yang diwakili walaupun merugikan rakyat dan negara.


Perjuangan untuk menegakkan hak demi Malaysia yang lebih baik ini tidak pernah selesai walaupun semua undi telah dikira. Kita merancang tetapi Allah menentukan. Pilihanraya hanyalah salah satu cara dalam demokrasi.


Kekalahan dalam pilihanraya yang tidak adil, terbuka dan telus sememangnya satu perkara yang tidak dapat dielakkan saban tahun. Mereka yang menang melalui cara yang haram ini bolehlah ketawa semasa masih bernafas dan dilindungi kuasa yang ada.


Buat kita yang bukan dari golongan elit dan berkuasa.... perjuangan tidak pernah selesai, kalah atau menang.


No comments: