Wednesday, July 18, 2007

Bola Pun Kecut

Bola Pun Kecut

(Kami ekspatriat Malaysia di UAE sama mengucapkan takziah pada keluarga para prajurit yang terkorban dalam nahas Nuri baru-baru ini)
Saya sempat melihat siaran langsung hampir semua perlawanan kejohanan bolasepak Piala Asia menerusi pelbagai TV Arab. Kebetulan, oleh kerana perbedaan waktu (minus 4 jam), saya menonton selepas waktu kerja bersama rakan-rakan Arab tempatan dan ekspaktriat lain di sebuah kelab rekreasi pinggir bandar Dubai.
Sememangnya sukan bolasepak adalah sukan utama dikebanyakan negara dunia, termasuk negara-negara Timur Tengah. Dengan sendirinya kejohanan ini menarik minat ramai. Dengan musim panas yang memuncak dengan suhu dan humiditi, tidak banyak aktiviti di luar yang boleh dilakukan.
Apalagi, dengan kehadiran pasukan Saudi, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Iran dan Iraq, maka kami di kelab tersebut mempunyai penyokong yang agak sama rata. Para ahli kelab terdiri dari pelbagai bangsa Arab yang begitu bersemangat menyokong pasukan nasional masing-masing.
Cuma saya yang tidak menyokong mana-mana pasukan dan berkecuali walaupun Malaysia turut serta sebagai tuan rumah, terutama selepas tewas 1-5 kepada China. Bukan tidak patriotik, cuma malas menjawab pelbagai pertanyaan mengenai prestasi dan mutu permainan pasukan nasional yang seolah-olah bermain tidak atau belum cukup warm-up (meminjam kata PM satu masa dahulu mengenai prestasi beliau) sepanjang 90 minit.
Mendengar ulasan dan komen dari penonton yang kebanyakannya kaki bangku memang menyeronokkan. Mendengar cara ulasan pengulas TV juga melucukan. Suara yang bernada tinggi dan jeritan memanjang kalau gol membingitkan.
Melihat stadium yang kosong apabila bukan pasukan tuan rumah bermain, selain di KL yang juga kosong walau pasukan negara bermain, membayangkan yang tahap penonton masih dalam lingkungan sentimen tempatan. Tidak menyalahkan mereka kerana saya sendiri lebih berminat dan selesa menonton di rumah dari membayar tiket dan bersusah payah untuk ke stadium. Lainlah sekiranya ada bintang-bintang dunia yang bermain.
Sentimen patriotik dan nasionalistik (asabiyah) juga adalah sesuatu yang sinonim dengan orang-orang arab, maka sokongan padu yang diberikan kepada pasukan nasional turut disertai dengan ekspektasi yang tinggi. Para pengulas di TV boleh dikatakan berat sebelah kalau ada pasukan arab yang bermain, nasib baik mereka bukan pengadil.
Apabila pasukan UAE yang baru menjadi juara di Teluk turut rebah di Vietnam, biasalah yang para penyokong tempatan mula panas. Pelbagai kritikan terhadap pemilihan pemain dan teknik serta strategi mengisi dada akhbar sebaik tewas dengan Vietnam yang dianggap ‘minnows’. Sebelum itu, pasukan UAE menewaskan Malaysia dalam perlawanan warm-up pre-kejohanan.
Manakala kawan-kawan dari Iraq tentunya ceria dengan persembahan sebuah negara yang masih kucar-kacir dilanda perang. Melupakan sebentar pelbagai bencana yang terus mengisi kehidupan di tanahair Iraq.
Bagi mereka yang tidak mempunyai pasukan negara dalam kejohanan ini, perhatian beralih kepada pasukan yang kuat. Malangnya pasukan yang dianggap kuat seperti Australia dan Korea juga tidak seperti dijangka.
Pada hari ini, Rabu 18 Julai, saya menonton perlawanan Malaysia menentang Iran di rumah sambil mendengar celoteh beberapa orang pegawai bola di RTM 1 melalui Internet. Ahli panel kesemua datuk-datuk, dua orang ahli politik dan seorang pengarah jabatan sukan. Sepatutnya dijemput juga mereka yang membayar tiket dan yang banyak menghabis wang dan masa, iaitu penyokong yang sudah muak dan mual dengan FAM.
Lucu juga mendengar ulasan ahli panel yang mungkin masih belum kecut dengan kecaman pelbagai pihak.
Sebelum itu turut membaca pelbagai komen mengenai isu kekalahan teruk pasukan bola negara dan perletakan jawatan beberapa pegawai tinggi FAM. Juga mengenai kata-kata ‘saya bukan pengecut’ yang diluahkan oleh Presiden FAM sejak saya tahun 1984 lagi.
Saya memang tidak begitu mengikuti perkembangan bolasepak negara terutama semenjak berhijrah. Tidak tahu pasukan negeri mana yang menang piala apa kerana setelah fiasco rasuah di tahun 90han, sudah tidak percaya lagi pada perlawanan bola anjuran FAM.
Seingat saya kali pertama dan terakhir melihat pasukan nasional bermain ialah sewaktu Malaysia menentang England B dalam tahun 1991 di Stadium Merdeka. Di mana Matlan Marjan menjadi hero dengan dua gol walaupun tewas 2-4, sebelum terpalit dengan rasuah.
Saya bukan juga pakar yang tahu selok-belok pengurusan dan politik bola negara. Tetapi seperti mana kata seorang senator di TV1 dalam rancangan ‘Dari Parlimen’, ini turut melibatkkan ‘maruah’ negara. Bila berada di luar negara dan melihat pasukan sendiri dibelasah, memang amat terasa jengkel. Kalau setakat 1-0, 2-0 itu kira OK lagi, tetapi bila DJ popular diradio UAE berkata ‘the whipping boys – Malaysian team’, siapa yang tidak merasa malu. Kawan-kawan ekspatriat dari India, Pakistan dan Filipina pun sama gelak walau ‘Truly Asia’ masih menjadi destinasi popular percutian musim panas.
Kalah menang memang adat pertandingan tetapi setelah berbelas tahun, kita masih belum mencapai tahap prestasi yang pernah di kecapi, menunjukkan banyak perkara yang tidak kena. Benarlah kita 20 tahun ketingalan dengan negara-negara kuasa bola dunia seperti Brazil, Argentina dll, 10 tahun ketinggalan dengan negara-negara kuasa bola Asia seperti Jepun dan Korea. Malaysia TAK boleh! Mengapa?
Saya tidak mahu mengulang pelbagai komen, saranan dan pendapat yang kini berbuih-buih dalam siber dan luar siber, sekadar bersetuju yang para pemegang amanah di FAM yang gagal selama ini, silalah berundur diri. Nak dikata secara terhormat pun sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur basi.
Saya juga amat bersetuju bahawa kita tidak perlukan keluarga di raja dan ahli politik mahupun tokoh korporat yang menyemak, menyibuk dan membuang masa untuk menduduki kepimpinan mana-mana sukan, demi populariti dan glamour. Cukuplah dengan pengalaman pasukan bola yang kecut di padang sendiri setelah jutaan terlebur atas nama pembangunan bolasepak negara dari Semi-Pro ke Liga M.
Secara jenakanya, kami di Dubai sedikit sebanyak boleh berbangga kerana pasukan ‘Malaysia’ di Dubai menjadi juara pertandingan tiga penjuru Asean (Singapura, Indonesia, Malaysia) dikalangan ekspatriat baru-baru ini (sila lihat www.malaysian-uae.com) walau semuanya amatur dan bermain seminggu sekali, tanpa jurulatih!