Saturday, July 14, 2007

Broker, Datuk Ir Conman, SB dan Nabi Palsu

Biarpun ekspatriat Malaysia di UAE masih ditahap terlalu kecil jumlahnya, tetapi mempunyai pelbagai cerita dari pelbagai jenis manusia yang tentunya tidak mengejutkan. Selagi bernafas sebagai manusia, kepelbagaian ini juga adalah sebahagian dari panorama negara Teluk yang begitu pesat membangun untuk menrealisasikan segala wawasan kepimpinan.
Dengan pelbagai warga negara dunia menumpang rahmat dari rezeki limpahan Ilahi, UAE semestinya mempunyai 1,001 warna-warna dan wajah-wajah manusia. Kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kalau dari satu keluarga pun tidak semestinya sama haluan dan sama tujuan.
Saya tidak kenal semua warga ekspatriat Malaysia dan tentunya ramai tidak mengenali saya. Tetapi sepanjang pengalaman menetap di Dubai sejak tahun 2000, boleh dikatakan tidak juga sunyi dari mengetahui, kalau tidak mengalami sendiri beberapa peristiwa melucukan untuk dijadikan sempadan dalam kehidupan.
Apa yang ditulis sekadar iktibar untuk dikongsi.
Dalam kepesatan ekonomi dan pembangunan di UAE, tentunya ramai ahli perniagaan Malaysia yang berminat untuk melebarkan sayap di sini. Kedatangan mereka ini selalunya dengan penuh ekspektasi dalam merebut peluang disamping menambahkan keuntungan.
Kebanyakan mereka tidak begitu tahu selok-belok untuk menembusi pasaran atau mempunyai contacts tempatan. Maka muncullah beberapa individu, termasuk ekspatriat Malaysia tentunya yang menawarkan khidmat dengan pengakuan yang mereka, para broker tidak bertauliah ini mengenali ramai tokoh-tokoh korporat besar, pegawai tinggi kerajaan dan menteri UAE, sehingga mengenali keluarga diraja, kalau tidak mengenali Sheikh atau Emir atau Ruler emiriyah tertentu secara peribadi.
Seperti di Malaysia, para broker yang lebih banyak menjual air liur ini tentunya mempunyai ‘harga’ seperti komisyen berbentuk peratusan dari nilai projek. Pantang ada ahli perniagaan yang datang, mereka akan seperti lalat mengerumun dengan segala cerita yang boleh sahaja mencairkan para pendengar.
Mungkin ada diantara mereka benar-benar ‘Broker’, yang lainnya pula bertaraf ‘saudagar mimpi’. Ada yang saling menjatuhkan dan ada yang sudah dikenal pasti sebagai ‘conmen’.
Kisah paling menggegarkan ialah apabila sebuah syarikat Malaysia yang beroperasi di Dubai menggaji seorang yang bergelar Datuk Ir sebagai pengarah projek (kejuruteraan). Datuk Ir ini kabarnya membawa surat dari Putrajaya sebagai sokongan, mengaku sahabat baik dan orang kuat menantu PM dan mempunyai ijazah kejuruteraan. Datuk Ir juga berbangga yang dia amat rapat dengan ramai Sheikh dan pernah sekali bercerita yang dia baru balik dari solat bersama Sheikh Dubai. Memang hebat Datuk Ir yang pernah juga mengaku orang kuat pemuda parti pemerintah dan kerap membelanja ‘orang-orang besar’ parti tersebut di Dubai dengan menggunakan perbelanjaan syarikat.
Maka segala temberang Datuk Ir pecah apabila beberapa perkara yang dilakukannya tidak mengikut prosedur. Di pendekkan cerita, setelah sedikit-sebanyak kerugian disebabkan urusan bisnes yang meragukan, dapat disahkan yang Datuk Ir ini bukan sahaja TIADA datuk, TIADA ijazah, malah pernah mempunyai rekod jenayah yang sama dengan syarikat-syarikat di Malaysia. Tidak pasti apa yang berlaku pada Datuk Ir Conman, mungkin sekarang menjadi pengarah syarikat lain di tanahair dan tentunya naik pangkat kepada Dato Seri dengan ijazah Phd, Dato Seri Dr. Conman!
Salah satu lagi karektor yang mungkin tidak kurang hebat ialah kehadiran ‘SB’ di tengah komuniti ekspatriat Malaysia. Tidak pasti kesahihan mereka yang dikenali sebagai ‘SB’ tetapi kehadirannya mungkin sekadar gimik. Kalau dia benar-benar seorang SB atau informer maka dia bukan seorang SB yang hebat, kerana semua orang tahu dia seorang SB.
Ada juga yang mengaku sebagai ‘ejen Interpol’ disamping membuka bisnes sebagai ‘broker’ dengan menggunakan alamat pejabat di flet sewaan dan syarikatnya tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan. Hebat seorang ‘ejen Interpol’ yang mengaku menjadi ejen kepada orang lain.
Satu lagi karektor aneh ialah bekas ‘Nabi Palsu’ yang pernah di hadapkan ke mahkamah tanahair kerana membawa ajaran sesat, melarikan diri ke UAE dan menjadi seorang ahli bisnes.
Kali pertama berjumpa dia mahu mengembangkan sayap perniagaan dalam bisnes perisian yang dikatakan bakal menandingi Microsoft. Kemudian membuka bisnes menjual produk telekomunikasi yang boleh menggugat Nokia di Sharjah.
Akhir sekali berpindah ke Abu Dhabi dan membangunkan perisian perisikan yang boleh mengetahu hatta seekor lalat menceroboh ruang angkasa.
Lebih hebat nabi palsu ini berjaya mendapat pelaburan melebihi sejuta ringgit dari seorang Arab tempatan yang kelabu mata apabila dijanjikan perisian ini mampu menjadikan dia sekaya Bill Gates. Arab tersebut bukan calang-calang orang kerana berpangkat besar. Lantas si nabi ini bertukar dari papa (kena halau dari penaja di Sharjah kerana disyaki menipu) menjadi hartawan, memiliki dua kereta mewah dan dua apartment mewah dengan wang pelaburan ‘skim cepat kaya’ yang dijanjikan.
Kawan kepada Arab tempatan ini mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan membuat risikan sendiri. Perisian perisikan hebat ini yang dibangunkan melalui server ‘kotak hitam’ ini rupanya hanyalah PC biasa yang tiada mengandungi apa-apa selain perkakasan sahaja.
Malangnya si Arab yang termakan segala kehebatan perisian tersebut tidak mahu mendengar nasihat sahabat baiknya dan lebih mempercayai nabi melayu yang rupanya tidak juga mempunyai apa-apa ijazah.
‘Melayu Boleh’ kerana sewaktu di UAE, si nabi membawa ketiga-tiga isterinya tinggal serumah. Menurut lapuran arkib akhbar mengenai kes ajaran sesat yang dibawanya, si nabi melayu ini pernah bernikah batin dengan sepuluh orang isteri.
Begitupun, kini syarikat hebat nabi palsu itu tidak ujud lagi dan tidak pasti kemana nabi melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang tersebut membawa diri bersama isteri-isteri dan pengikut-pengikut setia. Mungkin bersama ayah pin di langit!
Dengan kehadiran lebih ramai ekspatriat Malaysia, tentunya kisah-kisah sebegini semakin juga bertambah, Malaysia Boleh!

No comments: