Monday, December 31, 2007

Resolusi

(Berita Minggu 6 Januari 2008)

dalam kamar dibawah sedar
bergema rontaan dari dalam
menyelinap ke ruang gurun
jiwa telah membara
terbakar oleh kedinginan kembara
yang mengapikan simpang-siur
kehidupan
penuh prasangka

ketukan dari pintu naluri
realiti telah berkocak
mewarna seribu musim di dinding
mewajah imej-imej kelabu
persepsi hitam putih
merentas setiap bayang
perjalanan
memanjang ke belakang

dan berkata-kata usia
jangan biarkan hari
sekadar siang dan malam
pusingan pagi dan petang
berkumpul menjadi kalendar
untuk terbuang sebagai memori
perjuangan
tanpa barakah!

Fudzail
Dubai, 31 Dis 2008

Wednesday, December 26, 2007

Sejenak Ini

(Berita Minggu 3 Februari 2008)

kehidupan dari layar ke layar
merentas musim menjalar
sejenak ini, meminjam kesempatan
membingkai indah perjalanan
dari ruang hati yang hinggap
merawati luka di hujung sayap

terbang tinggi saujana gurun
menjejak sisa-sisa karun
dari kilauan pasir emas
keringat diantara hampas
setelah rindu mengukur nikmat
dalam kesumbangan sekujur jasad

perantau pun mewarna hari
di mata tekun memerhati
waktu telah berlari
jauh berligar tanpa destinasi
dengan jejak-jejak seribu mimpi
mengekori setiap wajah memori!

Fudzail
Palm Jebel Ali
26 Dis 2007

Tuesday, December 25, 2007

2007 Yang Penuh Warna



Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.30


Melihat ke belakang 12 bulan yang lalu dalam tahun 2007, boleh dikatakan penuh dengan kilauan dan gemerlapan di bumi UAE dengan pelbagai pengumuman projek bernilai trilion Dirham.

Dengan harga petrol mencapai USD100 setong, emiriyah paling besar dan kaya, juga ibunegara UAE terus mampu merancang pembangunan dengan lebih bergaya. Setelah sekian lama dibayangi oleh Dubai, Abu Dhabi kini boleh menenggelamkan apa sahaja yang telah berjaya di lakukan oleh Dubai.

Persaingan antara kedua emiriyah paling kaya dan berpengaruh dalam persekutuan tujuh emiriyah UAE ini semakin hebat.

Selain dalam bentuk projek pembangunan hartanah, lapangan terbang, pelaburan merata dunia, syarikat penerbangan (Emirates kepunyaan Dubai dengan Etihad kepunyaan Abu Dhabi), malah penjualan nombor plet kereta.

Kalau heboh MB dan exco kerajaan Pahang membazirkan wang rakyat dengan membeli nombor plet, tentunya tidak boleh melawan kegilaan tokoh-tokoh korporat UAE untuk bergaya dengan nombor plet bergaya yang mencapai rekod, nombor plet paling mahal di dunia.

Para tokoh korporat UAE yang tentunya tidak selekeh MB dan Exco kerajaan Pahang yang menyalahgunakan dan membazirkan dana rakyat, menggunakan wang sendiri kerana memang mereka kaya-raya.

Seorang tokoh korporate bernama Talal Khoury (gambar) membayar plet no. 5 Abu Dhabi sebanyak 25.2 juta Dirham dalam satu lelong plet kereta Mei lalu.

Begitupun, semua projek mega, ikonik dan terbilang Abu Dhabi masih belum begitu ketara dari lanskap. Di Dubai pula, jalan utama, Sheikh Zayed Road dengan lima lorong sehala yang memanjang ke sempadan Abu Dhabi bukan sahaja mempunyai dua gerbang tol ‘Salik’, malah kiri kanan dipenuhi bangunan pencakar langit.

Terutama Burj Dubai yang buat masa ini dinobatkan, walau secara tidak rasmi, struktur paling tinggi atas planet bumi.

Bukan sahaja bangunan yang mencakar langit, harga hartanah terutama sewa rumah juga terus mencakar langit biarpun ada sekatan kenaikan sewa tahunan untuk meringankan beban para ekspatriat yang datang untuk mencari rezeki.

Rungutan terhadap kenaikan sewa rumah dan kejatuhan USD yang sama merudumkan nilai Dirham yang ditambatkan ke USD merupakan kemuncak cabaran tahun 2007. Kini dilapurkan yang UAE akan menilai semula Dirham hanya dalam Julai 2008.

Begitupun, dengan kenaikan gaji bermula dari keputusan pihak kerajaanUAE menaikkan gaji kakitangan sebanyak 70% untuk membantu kesan inflasi, nampaknya juga diikuti oleh pihak swasta dalam kenaikan sebanyak 15% hingga 20%. Walau ramai masih belum berpuas ahti setelah lama dapat menyimpan wang hasil dari kemewahan hidup, sekurang-kurangya dapat mengurangkan beban ramai ekspatriat yang tentunya akan terus merungut.

Terutama mereka yang setiap bulan menghantar wang ke negara masing-masing. Nilai matawang seperti rupee dan peso turut naik berbanding Dirham yang menyebabkan majoriti ekspatriat di sini dari benua asia selatan dan Filipina mula terasa ‘semakin miskin’.

Malah warga Malaysia juga merasa semakin miskin kerana nilai RM lebih tinggi dari Dirham.

Satu lagi projek yang sudah mula mengubah lanskap Dubai dalam tahun 2007 ialah pembinaan trek Metro sepanjang 800km, keretapi laju tanpa pemandu yang mejalar ke merata kawasan. Pembinaan trek dan hentian Metro memang memberi kesan kepada kesesakan jalan raya dengan perubahan trafik di sana sini termasuk ada jalan yang ditutup sepanjang tahun.

Menurut lapuran media, sistem tol Salik juga akan diperluaskan dari dua gerbang di Sheikh Zayed Road ke jalan-jalan utama lain. Dengan kutipan sebanyak 700 juta dirham untuk tahun 2007, Lembaga Jalan dan Pengangkutan dubai (RTA) menolak anggapan yang Salik adalah untuk mencari pendapatan kerana keseluruhan projek dibawah RTA melebih 100 bilion Dirham.

Ini berbanding dengan tol PLUS dan lain-lain yang nampaknya akan juga terus meningkat dan membebankan pengguna terutama marhaen dengan keuntungan brlipat ganda untuk syarikat yang mendapat konsesi.

Projek-projek menaik taraf jalan dan sistem pengangkutan awam, membina pelbagai jalan, interchange dan jambatan baru, Metro, sistem pengangkutan air memang mewajahi Dubai begitu rancak sekali dalam tahun 2007.

Seperti inisiatif lain sebelumnya, inisiatif Dubai dalam memodenkan sistem pengangkutan awam turut diikuti oleh emiriyah lain terutama Abu Dhabi yang sama merancang Metronya sendiri. Disamping menaik taraf kenderaan teksi.

Malah pembinaan rangkaian keretapi laju menyambung empat buah negara Arab teluk juga bakal mengubah lanskap gurun di semenanjung Hijjaz ini. Sesuatu yang boleh menjadikan kawasan gurun tempat pelancungan!

Pelaburan dalam pelbagai bentuk di luar negara juga menjadikan 2007 sebagai tahun shopping spree buat emiriyah Abu Dhabi, Dubai serta negara Qatar dan Saudi Arabia.

Antara pelaburan yang menonjol sepanjang tahun 2007 ialah pembelian rangkaian pasaraya Sainsbury, bisnes plastik General Electric, perbankan Citigroup, kumpulan ekuiti Carlyle, bursa Nasdaq, Ferrari dan Austin Martin.

Tidak termasuk pembelian kapalterbang bernilai USD100 bilion semasa Dubai Airshow 2007!

Bagi warga Malaysia di UAE sepanjang tahun 2007, dengan kejayaan beberapa syarikat Malaysia mendapat kontrak besar turut menambahkan jumlah kedatangan warga baru. Ada syarikat Malaysia yang dikatakan membawa seramai 800 pekerja Malaysia dalam satu-satu masa. Kemasukan secara ‘visa pelawat’ yang mungkin boleh menjadi masalah kerana bekerja tanpa permit.

Tidak dilupakan yang sebuah syarikat kepunyaan atau berkaitan dengan UMNO juga dikatakan akan ditutup operasinya kerana sudah masuk kategori muflis. Syarikat tersebut pernah dilapurkan oleh media kerana tidak membayar gaji pekerja binaan selama tiga bulan. Salah seorang bekas pengurus kanannya juga dipenjarakan kerana cek syarikat yang tendang. Beliau dibebaskan setelah sebulan dalam lokap dan syarikat tersebut membayar tuntutan pembekal.

Selain ada kematian, iaitu seorang pensyarah berasal dari Serawak di Al Ain Syawal lalu, ada juga kelahiran anak Malaysia yang menambahkan warna-warna komuniti Malaysia di UAE.

Turut tersebar kabar angin mengenai rancangan sebuah parti politik besar Malaysia untuk mengujudkan kelab cawangan di UAE, sesuatu yang boleh memecahbelahkan lagi suasana.

Dengan kedatangan konsul am sepenuh masa dibawah Wisma Putera akhir tahun 2007 ini, tidak lagi satu jawatan dengan Ketua Matrade, kami mengharapkan mereka yang dihantar oleh pihak kerajaan dengan wang rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di sini akan lebih aktif dan mesra rakyat seperti sama-sama terlibat dengan pelbagai aktiviti komuniti http://www.malaysian-uae.com/, yang menjadi persatuan de-facto rakyat Malaysia setakat ini!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)

Sunday, December 09, 2007

2007

wajah usia dalam cermin
berselindung dibalik angin
masih malu-malu menatap
dalam hiba meratap
kehadiran hari-hari
di luar batas emosi

mata bundar yang memanah
ke setiap ruang memori bernanah
dalam mimpi mencari perhentian
mengukur pasrah perjalanan
bersama tapak-tapak waktu
berterbangan kering berdebu

mentari pun tersangkut
di paparan hayat yang hanyut
untuk mengulang kerinduan
sejenak musim perantauan
dalam bingkai ribuan ilustrasi
merakam setahun yang pergi!

Fudzail
Twar 3
9 Disember 2007

Palm Jebel Ali


Saturday, December 01, 2007

Wednesday, November 21, 2007

Today, 16 years ago

Time really flies.

It was today, 16 years ago that changed my life. The akad nikah ceremony, attended by families and close friends.

After two akads (because the imam said, 'why not another one...'), we became husband and wife.

My aruah father was there as a witness and the young and still then bachelor imam, knowing he was a tok guru, was nervous to lead the ceremony.

The ceremony was simple, as I always wanted it to be.

Today, 16 years later, with three boys, alhamdulillah for the blessings.

Looking forward for the rest of our lives together!

Saturday, November 10, 2007

KUNING

KUNING

suara-suara dari terowong
yang terus mahu dikepung
oleh jalang kebobrokan
junta kepimpinan
melebar saujanan kebangkitan
memecah tembok kesabaran
setelah setiap janji
manis tetapi berduri

kuning yang berarakan
simbol gelombang perasaan
tidak gentar oleh ugutan
tidak beundur oleh ancaman
menjadi catatan sejarah
aman tidak berdarah
untuk menilai demokrasi
bukan sekadar pilihanraya

kalian yang berani
wira yang dihormati
merempuh kezaliman
dengan ketabahan
untuk sebuah negara
yang tercinta!

Fudzail
10 Nov 2007

Monday, November 05, 2007

Saturday, September 29, 2007

Hari-Harimu Di Muraqabat

dalam setiap keberangkalian
yang memungkinkan untung nasib
kita menjadi pelaku-pelaku
di pentas bersimpang siur
tanpa kekadang bersedia
menjadi watak-watak berbeda
dengan sekelip mata

suasana dari dalam
tentunya memerangkap minda
melihat dinding dan tembok
mengutip kekuatan diri
dari persoalan yang bertambah
dalam melerai kekalutan
dari rekahan peristiwa

kita masih saja berjalan
biar dalam langkah berbeda
untuk menganjak takdir
kembali kepada permulaan
dan terpaksa bertarung
dengan ganas jerung
yang tidak kenal mangsa!

Fudzail

Monday, September 03, 2007

Laluan Kelana Jaya

ulang-alik yang merentas
imej-imej kosmopolitan
manusia dan kehidupan
dari gerabak-gerabak
adalah perjalanan hari
yang mewajah realiti
dalam satu transit
ke seribu destinasi

kita penumpang yang lali
pada warna kulit
dan semakin serasi
dengan perkongsian matlamat
biar masih ada sempadan
berbataskan keturunan
laungan gempita ketuanan
memisahkan jurang jiwa
yang kian ketara
dibawah permukaan meriah
ulangtahun kemerdekaan
ruang yang semakin sempit
dengan kekalutan minda

aku, kau, kita dan mereka
mesti meneruskan kehidupan
yang terus bergelombang
dengan turun naik ekonomi
pasang surut emosi
wacana yang berpanjangan
wawasan yang bertaburan
pun sebagai penumpang setia
aliran kelana jaya
semusim dirgahayu
bersama catatan waktu
keluar masuk di setiap hentian
dan mencari memori
dari tetingkap bisu
yang kekadang malu dan kelabu!

Fudzail
Bangsar Village
3 Sep 2007

Wednesday, August 29, 2007

Tidur Yang Panjang

tahun-tahun di ranjang
tidurmu yang panjang
adalah simpang-siur perjalanan
yang membedakan kita
ke satu destinasi usia

sesekali sebagai tetamu
buat kami yang jemu
menyusur pasang surut waktu
dalam mengejar manis mimpi
diantara hitam putih igauan hari

sureal seribu bicara
pandangan pun menghiris jiwa
siapa kami yang belum pasti
ke mana perjalanan jasmani
dalam kebobrokan rohani

22 tahun lalu, ogos dan musim dingin
masih lagi remaja kita bermain
ruang yang terperangkap
dalam himpunan memori lanskap
mengulit tidur kami yang sukar lena!

Fudzail
(Melawat Shahril Idris yang terus koma semenjak 1985 di New Zealand)
28 Ogos 2007

Monday, August 27, 2007

Jakarta ke Bandung

bulan kemerdekaan yang mewarnai
kemanusian dari imej-imej realiti
sureal merentas emosi
mencari setiap yang tersembunyi
dalam menjejak kehidupan nusantara
di ruang liberal satu bangsa
yang masih berdarah merawat sejarah
dan terus mencari arah
kemudi perjalanan masa depan
dilaungan demokrasi jalanan

tanah subur dan sumber melimpah
majoriti warga masih payah
dalam meraih kegawatan kota
dan meninggalkan kedukaan desa
setelah bertahun tergadai maruah
oleh kepimpinan rasuah
biar gah semangat jatidiri
dan laungan slogan nasionalisme
menjadi kekuatan peribadi
di permukaan indah persepsi

kepedihan yang tersurat
dari setiap paparan hakikat
jakarta ke bandung
dataran ke gunung
sempadan dari perbedaan
nilai darjat kemanusiaan
sumbangnya harga songsang peradaban
mengajar erti kemerdekaan
bukan sekadar kebebasan!

Fudzail
Bandung - 26 Ogos 2007

Saturday, August 18, 2007

Camar Masih Berterbangan

(Berita Minggu
11 Oktober 2007)

saujana waktu masih berdiri
diantara laut dan pantai
membawa ombak dan ruang
bertindihan dalam kepasrahan
perjalanan tawakal yang memanjang
manis ke satu permulaan

masih segar seorang anak kecil
dalam diri memanggil-manggil
berlari dan berlari jauh
bangun dan terjatuh
mengejar ilusi kehidupan
seindah fatamorgana perasaan

masih suara-suara bersahutan
mewajah seribu kebimbangan
melebar imej-imej kedewasaan
nun di musim-musim perantauan
camar yang terus berterbangan
melebar dunia tanpa sempadan

masih di sini, warna bayang-bayang
melontar malam dan siang
destinasi yang bersimpang siur
mengasak jiwa untuk bersyukur
hitam putih visual rentetan realiti
dari pasang surut gelombang emosi!

Fudzail
Kuala Rompin, Pahang
18 Ogos 2007

Wednesday, August 15, 2007

Belum Jaya Kota Putra

mereka yang menarah belantara
dengan wang dan kuasa
membina ikon sebuah ibukota
sebagai lakaran agung senibina
dari gersang batu-bata kapur
tersergam saujana warna-warna takbur

bercelaru wawasan satu keturunan
generasi masih di pinggiran
melihat khazanah jatuh bertaburan
di atas gema slogan ketuanan
sebagai jual beli komoditi perjuangan
demi survival nafsu jalangan

belum jaya kota putra
tidak gemilang pada nama
setelah kehilangan budi
pahlawan yang bersemadi
demi maruah tanah bertuah
yang pusara masih berdarah

realiti memanjang horizon masa
mimpi-mimpi ngeri anak desa
terlelong pusaka dalam meriah
pesta kemerdekaan pun semakin murah
bagai lerai bunga api malam di ibukota
indahnya di mata sekejap sahaja!

Fudzail
Putrajaya, 15 Ogos 2007

Putrajaya dan mentaliti dunia ketiga

Kolum ‘Dubai Online 2.0’ (klpos.com)
No.11



Saya jarang sekali berurusan dengan jabatan kerajaan dan tidak pernah ke kompleks kerajaan di Putrajaya. Selain bersiar setiap kali pulang bercuti sambil meninjau perkembangan ibukota negara yang pernah (masihkah?) begitu gah di bawah perdana menteri sebelum ini.
Kali ini sempat singgah di kompleks kerajaan untuk satu urusan. Perjalanan dari Petaling Jaya menyusur LDP ke Putrajaya memang mudah, kalau berkenderaan sendiri. Tidak pasti dengan pengangkutan awam dan saya tidak mahu mengambil risiko tersadai.
Lebuhraya di Putrajaya, seperti jalan-jalan lain sudah menunjukkan keusangan. Bagi kami yang terbiasa memandu di jalan-jalan lebar UAE yang tiada bertampal dan berlopak, memang terasa janggal. Tetapi apa nak dikata lagi, inilah wajah tanahair yang tercinta, sesuatu yang boleh diperbaiki sekiranya tiada rasuah dan yang sewaktu dengannya.
Apalagi melalui bawah jejambat yang juga sudah usang dan seakan tiada penyelenggaraan. Papan-papan tanda jalan juga tidak begitu membantu.
Mencari petak kosong untuk meletak kereta mungkin satu perkara yang boleh mencapai taraf mustahil. Setelah berpusing setengah jam, saya akhirnya melupakan sahaja hasrat tersebut dan terpaksa mencari di kompleks bersebelahan. Juga berpusing-pusing dan berjalan pula beberapa km ke destinasi dalam hujan. Ini sudah tidak mesra pelanggan!
Tidak pasti sewaktu peringkat perancangan dahulu, telah diberi pertimbangan mengenai ruang meletak kereta. Menurut seorang pegawai, masalah itu akan selesai bila sebuah kompleks meletak kereta akan di bina tidak lama lagi dalam kompleks tersebut.
Diharapkan begitulah kerana sudahlah agak jauh untuk ke Putrajaya, banyak masa terbuang dalam perjalanan dan lebih banyak pembaziran masa hanya untuk mencari tempat letak kereta. Tidak termasuk membayar tol yang menjadi pintu gerbang di kebanyakan pintu masuk dan keluar, selain kos petrol yang meningkat.
Saya tidak terkejut melihat bangunan kompleks yang juga sudah nampak keusangan kerana memang tidak baik pembinaannya oleh kesuntukan jadual atau juga kos yang sudah beberapa kali ‘sub’. Mungkin juga kerana kurang penyelenggaraan.
Tetapi terasa kesal sekali apabila membayangkan betapa banyak duit rakyat yang telah dileburkan untuk membina sebuah ibukota moden dan canggih, tetapi hasilnya amat memalukan bukan sahaja untuk jangkamasa panjang, tetapi dalam tempoh terdekat sudah menonjolkan pelbagai kebobrokan.
Perdana Menteri pernah berkata, ‘First class infrastructure and third class mentality’. Ternyata Putrajaya yang mempunyai pejabat PM yang tersergam amat sesuai sekali dengan ungkapan itu. Tetapi ‘first class infrastructure’ mungkin juga tidak sesuai kerana fasiliti di Putrajaya sudah begitu usang kalau dibandingkan kota-kota usang dunia yang lain, tetapi masih terjaga bangunan dan prasana.
Sewaktu turun ke kafeteria kompleks tersebut, memang agak menyedihkan juga. ‘Suasana pejabat kerajaan’ lama masih di kekalkan. Melucukan setelah 50 tahun merdeka, untuk ke tandas, terpampang ‘toilet’ tanpa untuk lelaki atau perempuan. ‘Toilet’ untuk orang kurang upaya pula menjadi pejabat tukang cuci!
Menggelirukan juga kompleks pejabat kerajaan Putrajaya berbangga dengan ‘toilet’ dan bukan ‘tandas’ atau ‘jamban’. Mungkin untuk kemudahan para warga luar negara yang banyak berurusan dengan jabatan kerajaan.
(Tidak selesa mendengar PM bercakap di TV dengan menggunakan bahasa Inggeris mengenai kemalangan terburuk dalam bulan merdeka, apalagi setelah 50 tahun merdeka. Bahasa Inggerisnya juga tidak sebaik seperti PM sebelumnya)
Itu semua perkara kecil untuk orang-orang besar yang berkereta besar dan mempunyai tempat letak kereta khas. Mungkin mereka para VIP dan VVIP ini tidak pernah turun ke kafeteria.
Suasana pejabat kerajaan mempunyai ciri-ciri tertentu, satu stereotaip dan trademark yang boleh diubah untuk sebuah ibukota moden seperti Putrajaya. Hiasan dalaman juga begitu stereotaip dan kalau dalam drama, memang cukup kenal ‘gambaran’ pejabat kerajaan. Tidak pasti kenapa ada perbedaan sebegitu, mungkin kerana mahu penjimatan kos setelah hiasan luaran banyak menggunakan kos untuk kecantikan senibina.
Saya tidak berkesempatan ke pejabat-pejabat lain, mungkin jabatan PM jauh lebih canggih dan hebat. Sesuai dengan taraf ketua kerajaan. Dari jauh memang nampak hebat, apalagi kediaman PM yang menjalar. Berbahagia penghuni mahligai tersebut dengan segala kemudahan dan kemewahan. Tetapi dengan lawatan PM yang begitu kerap ke luar negara, mahligai tersebut seakan hotel enam bintang sahaja.
Secara adilnya, prasana yang hebat, canggih, first class tanpa kakitangan yang hebat, berwibawa, cekap, amanah dan bersih tidak juga memberi apa-apa makna. Kita sama gembira dengan kenaikan gaji para pekerja awam, tentunya sesuatu yang patut dan setimpal dengan kadar inflasi dan pelbagai peningkatan saraan hidup serta pelbagai slogan seperti ‘Cemerlang, gemilang, terbilang’. Diharapkan kakitangan awam turut sama meningkat daya kerja selain lebih kreatif dalam memudahkan urusan terutama buat mereka yang menajdi pelanggan, yakni rakyat bawahan.
Satu lagi stigma yang sinonim dengan jabatan kerajaan ialah karenah birokrasi. Sesuatu yang sukar dipisahkan, seperti aur dengan tebing. Prasana fizikal termasuk elektronik yang canggih sepatutnya dapat mencepatkan banyak urusan, mahupun mengurangkan tenaga kerja dari berlebihan.
Mungkin karenah birokrasi adalah perlu dan kerana itu sinonim dengan jabatan kerajaan. Tidak pasti sejauh mana MAMPU telah mampu memodenkan urusan jabatan kerajaan selama ini. Bagi orang seperti saya yang jarang berurusan dengan jabatan kerajaan, tidak nampak banyak kemajuan, selain prasana dan pelbagai slogan.
Salah satu kesilapan besar pengkomputeran ialah mengautomasikan proses yang sedia ada, bukan mengintegrasikan proses mengikut sistem yang memudahkan pengguna, iaitu rakyat yang membayar cukai. Kerana itulah, mykad umpamanya masih saja terhad aplikasinya walau menjanjikan pelbagai insentif. Dan urusan seperti pendaftaran pengundi juga sepatutnya sudah menjadi automatik untuk mereka yang layak sebaik berusia 18 tahun. Dan mereka yang beralamat di komplek perkuburan sepatutnya tidak memiliki mykad untuk keluar mengundi!
Pada hari ini pasca MSC, kemajuan dalam sistem komputer dan telekomunikasi menjadikan kota untuk kompleks jabatan kerajaan seperti Putrajaya mahupun kota bestari seperti Cyberjaya sepatutnya tidak perlu. Pelbagai jabatan boleh berselerak di mana-mana, lebih dekat dengan pelanggan (rakyat) dan mempunyai kemudahan seperti pengangkutan awam, termasuk tempat letak kereta yang cukup.
Walauapapun, Putrajaya sudah terbina dari bilion ringgit yang tercurah temasuk ke tasik-tasik buatan dan menjadi legasi yang perlu juga diteruskan. Sebagai pembayar cukai, Putrajaya diharapkan akan ber’jaya’ seada-adanya dan melihat dari keadaan semasa, kini perlu dinaiktarafkan lagi, bererti bilion lagi akan muntah!

Sunday, August 12, 2007

CATATAN OGOS

(Berita Minggu 12 Ogos 2007)

Di lakaran imej masa silam
semarak hitam putih kehidupan
terukir indah setiap perjuangan
dari seribu pengorbanan
memuncak budi luhur pahlawan
yang membina semerbak taman
untuk anak-anak kelahiran
bernafas dalam kemerdekaan.
Di kanvas terbentang masa depan
dari titik-titik ruang perjalanan
sejarah dan semasa bertindihan
mewarna corak-corak wawasan
dari kesilapan dan kegagalan
juga kejayaan dan kecemerlangan
mewajah tugu-tugu peringatan
ke destinasi yang penuh kemungkinan.
Di kejauhan, tanah air tersergam di hati
bersama kembara merentas hari
musafir yang mencari rezeki
berbekalkan kerinduan peribadi
dan waja semangat jati diri
walau kekadang keselesaan jasmani
melebar kealpaan sejenak memori
untuk mensyukuri nikmat Ilahi!

FUDZAIL
Twar 3,
Dubai
Julai 2007

Sunday, July 29, 2007

Rahsia Hitam

(Berita Minggu 29 Julai 2007)

(September 2006)

Sebaik meninggalkan hospital, perasaan Kamisah kembali bercampur baur.
Wajah Hashimah yang kelihatan pasrah dengan segala yang dialami dan suasana wad merentas kesesakan jalan raya sewaktu hujan lebat di lebuh raya persekutuan. Imej-imej bercampur-baur bersama seribu bayangan melantun dari semua arah sama mengganggu penumpuan Kamisah untuk memandu.
Begitulah, Hashimah telah pasrah menerima takdir perjalanan hidupnya. Barah payu dara yang semakin parah bakal merenggut nyawa dan dia telah bersedia.
Bersedia untuk berpindah ke dunia lain. Sesuatu yang pasti buat semua tetapi Hashimah mempunyai jangka masa untuk bersedia. Begitulah dalam setiap sesuatu yang berlaku, biarpun dalam bentuk musibah, tentu ada rahmat dalam dugaan yang melanda.
Pertemuan yang penuh emosional itu menganjak setiap ruang ke stesen transit waktu. Telah lama kedua-dua sahabat di universiti tidak bertemu. Dijarakkan oleh karier, rumah tangga, jarak ruang mahupun perlumbaan dunia dalam mengejar kepuasan. Sepuluh tahun begitu pantas apabila kehidupan semakin ke perbatasan.
Tidak seperti pertemuan terakhir sebelumnya sedekad lalu, Hashimah tidak lagi becok dengan segala gosip dan cerita sensasi. Dia hanya tersenyum, bercakap apa yang perlu dan setiap kali adalah nasihat sebagai wasiat. Tiada nostalgia dan tiada memori sentimental.
Kamisah sesekali memandang ke arah dua anak lelaki dan seorang anak perempuan Hashimah yang kelihatan sugul. Mungkin masih belum menerima hakikat dan fikiran dipenuhi pelbagai bayangan. Mereka akan kehilangan seorang ibu dalam waktu terdekat.
Dan di satu sudut, Mokhzan, suami Hashimah duduk memandang kosong. Tidak pasti apa perasaan seorang suami dalam keadaan begitu setelah dua puluh tahun berkongsi kehidupan. Kebanyakan lelaki akan segera mencari pengganti, malah yang isterinya segar bugar pun mencari yang lain apabila isteri dimamah usia.
Lantas mengingatkan Kamisah kepada suami dan anak-anak, sekiranya dia dalam situasi Hashimah. Menunggu nafas terakhir untuk meninggalkan ruang fana.
Terutama pada Badrul, sang suami yang kini di perantauan, bersendirian pada musim panas gurun timur tengah.
(Jun 2001)
Badrul kelihatan amat letih sebaik masuk ke apartmen.
“Beginilah kerja dengan pak Arab, dibuat kita macam hamba abdi, padahal beratus tahun Islam telah menghapuskan perhambaan!”
Malam hujung minggu yang bersuhu panas mungkin sama memanaskan hatinya. Dia memang panas baran, cepat naik darah dan cepat bertindak di luar kawalan. Sesuatu yang diketahui hanya selepas perkahwinan, selepas musim romantis dalam alam percintaan berakhir.
Keindahan percintaan tidak berpanjangan. Perkahwinan mengubah ekspektasi alam indah percintaan dan mengubah perwatakan yang selama ini adalah lakonan.
Kamisah terus cuba membiasakan perubahan yang semakin janggal.
Sejak setahun berada di kota Dubai, Badrul memang sentiasa sibuk dengan projek pembangunan hartanah yang dikatakan bakal mengubah Dubai sebagai kota kewangan kepada kota pelancongan paling mega di muka bumi.
“Sudahlah kita kena buat dua tiga kerja sekali gus sebab orang lain bercuti, lepas itu banyak jadual tergendala dan banyak yang mahu diubah kerana mahu jimatkan kos, apa dia orang ingat kita ini Superman, Batman, Spiderman, X-man?”
Berkepul asap rokok di beranda. Seperti biasa, Kamisah yang maklum mengenai tabiat suaminya, terus diam sambil mendengar. Membiarkan Badrul melepaskan segala tekanan yang terbuku dan kadangkala melucukan juga.
Sejak di Dubai juga, rambut Badrul semakin menipis. Lebih daripada itu, semakin terasa semakin renggang dengan keluarga, asyik menghabiskan waktu di pejabat dan kawasan projek. Sebagai salah seorang pengurus projek, Badrul memang memberi komitmen sepenuhnya. Seakan hidup matinya bergantung pada berjaya atau tidak projek mengikut jadual.
Tentunya semakin kerap dengan panas barannya, terutama apabila di rumah.
Kamisah tidak bekerja sebaik berpindah ke Dubai. Dengan dua anak-anak remaja bersekolah, banyak masa terluang. Sesuatu yang dahulu terlalu diimpikan sewaktu bekerja di Kuala Lumpur dan kini sesuatu yang memberi tekanan. Kamisah mahu kembali ke alam pekerjaan seperti dahulu.
Walau perpindahan ke Dubai seakan memberi nafas baru dalam menguak kelemasan dan kerimasan. Menumpang kebahagiaan superfisial dalam sebuah istana impian selama ini.
Ternyata, Kamisah terus juga kelemasan di saujana gurun dalam mencari setiap yang hilang dan setiap yang tidak dimiliki. Begitupun majoriti isteri ekspatriat Malaysia tidak bekerja atas pilihan sendiri dan tentunya dengan pendapatan suami yang berkali ganda banyak dari tanah air, lebih baik menjadi suri rumah sepenuh masa.
Malah berkesempatan untuk ke kelas belajar al-Quran, belajar bahasa Arab dan bergaul dengan pelbagai warga negara dunia yang menjadi majoriti penduduk Dubai. Membuka horizon baru dalam menambahkan khazanah pengetahuan, aktiviti yang mungkin tidak berpeluang dilakukan kalau terus mengejar waktu ke pejabat sebagai wanita berkarier dan bergegas untuk pulang ke rumah sebagai isteri dan ibu.
“Bodoh, bodoh! Konsultan yang dipilih pak Arab itu pun semua bodoh, mentang-mentang kulit putih dengan pasport negara maju, padahal bodoh, sudahlah bodoh, sombong pula, kita pulak yang buat kerja dia orang macam orang bodoh!”
Sekali lagi Badrul melepaskan apa yang terbuku selama ini ke arah neon-neon gemerlapan kota Dubai dari tingkat 30. Kesekian kali malam musim panas dengan kelembapan yang tinggi.
Kamisah terus mendengar, tidak perlu mengulas atau bertanya apa-apa. Hanya perlu menyerap setiap lava dari gunung berapi yang meletup dan muntah dari Badrul.
Sudah cukup apa yang pernah terjadi kalau cuba memberi pendapat apabila lava memuntah dahsyat, bisik Kamisah sambil menggosok beberapa parut di bahu yang sering memberi igauan buruk terhadap Badrul dan panas barannya.
(Jun 2007)
Hashimah telah selamat dikebumikan.
Dikebumikan bersama satu rahsia yang sempat dikongsi pada hari-hari terakhir seorang sahabat paling rapat. Tentunya rahsia itu tidak akan kebocoran.
Segala-galanya urusan pengebumian begitu ringkas dan mudah dalam hujan renyai-renyai. Begitu surreal dalam wajah-wajah sugul, terutama anak-anaknya yang tidak henti meraung.
Talkin juga ringkas tetapi seperti biasa, memberi panahan ke jantung mengenai realiti kehidupan.
Memang ramai kenalan lama dari universiti yang hadir. Seakan sebuah majlis reunion kecil di tanah perkuburan.
Dalam kesedihan, tentunya ada sedikit kegembiraan untuk bertemu kawan-kawan lama, yang kebanyakkannya telah lama tidak bersua muka. Sekadar melalui yahoogroup dan cerita-cerita mulut dari yang lain.
“Kamisah?”
Satu suara garau menyapa di pintu keluar tanah perkuburan.Kamisah menoleh.
Seorang lelaki yang nampak agak berusia itu tiba-tiba meragut ketenangan. Satu wajah yang sukar dilupakan. Walau ingin sekali dilupakan dalam setiap masa silam yang tersisa pada musim-musim bunga.
(April 2005)
Kamisah membaca entri terbaru dalam blog Diana. Dia mengetahui kewujudan blog anak sulung perempuannya yang berusia 13 tahun itu secara tidak sengaja.
Sejak pasti blog itu ditulis Diana, maka setiap pagi, sebaik Diana dan adiknya Danial ke sekolah serta Badrul ke pejabat, Kamisah akan mengakses Internet untuk ke blog Dilema Seorang Anak Dara Melayu di Gurun.
Dia tidak sengaja terserempak dengan blog itu dan menyangka Diana mungkin mahu merahsiakannya. Kamisah juga tidak mahu Diana tahu yang dia sebagai ibu tahu kewujudan blog tersebut. Mula-mula apa yang dicatat sekadar kisah kawan-kawan, guru-guru dan suasana di sekolah, kemudian bertukar pengamatan Diana terhadap keluarga, terutama ayah dan ibunya.
Sesuatu yang menjadikan Kamisah begitu berminat, kalau tidak bertambah tertekan. Pengamatan Diana terhadap apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka cukup berterus-terang dalam identiti samaran. Alangkah baiknya kalau dia juga boleh berterus-terang dengan Diana.
Tetapi ada baiknya dia mengetahui apa yang tersirat dalam minda anaknya melalui blog kerana dia sendiri belum bersedia untuk bersemuka. Bimbang dengan segala kemungkinan yang boleh menjejaskan hubungan ibu dan anak.
Pastinya, dia belum yakin dengan dirinya sendiri walaupun Diana sudah boleh menerima hakikat. Anak zaman sekarang lebih terbuka, apalagi dengan kehidupan kosmopolitan Dubai. Entri itu adalah sambungan entri sebelumnya.
Catatan mengenai panas baran seorang ayah dan beberapa peristiwa yang meninggalkan kesan buat seorang anak. Pedih sekali untuk membaca kesan ketakutan dan kesan igauan buruk yang dialami Diana dan mengubah persepsi terhadap ekspektasi masa depan.
Bertambah pedih buat Kamisah apabila yang tercatat adalah kehidupannya sendiri!
(Januari 1997)
Dalam dikelilingi kawan-kawan lama di universiti, hatinya berbelah bagi, emosi pun bercampur baur. Apalagi melihat gelagat becok Hashimah yang tidak henti mengusik Shahrul. Satu-satunya di antara mereka yang sama-sama menjadi graduan yang belum berkahwin.
Lantas meriah suasana di Subang dengan cerita-cerita lama. Shahrul tidak kisah dengan ejekan, sindiran dan kutukan sebagai bujang lapuk. Malah Shahrul sama membuat jenaka mengenai kehidupan bujang senang, sebagai konsultan pengiklanan di dunia yang dipenuhi wanita seksi dan glamor.
Setelah sepuluh tahun meninggalkan universiti, kemesraan antara mereka yang berkongsi kampus dan alam remaja masih sahaja seperti dalam suasana sama. Bersama deretan memori yang berbalam dan ada di antaranya cuba dilupakan.
Tetapi tetap jatuh lagikan dikenang. Tidak mudah melupakan sesuatu yang tumbuh dan menjadi sebahagian daripada kehidupan remaja.
Hati Kamisah berdetik setiap kali Shahrul tersenyum dan sesekali mengenyit mata. Tetapi imej-imej Badrul dengan wajah bengis juga menerpa. Tidak dapat tidak, sejenak terkeliru dalam membandingkan kedua-duanya.
Kebetulan sepanjang dua tahun lalu, Shahrul sering ke pejabatnya di sebuah syarikat penerbitan gergasi. Sesuatu yang bukan di luar dugaan, kalau hubungan kasual menjadi agak intim.
Apalagi Kamisah tercari-cari escapisme, pelarian daripada suasana rumah tangga yang semakin longgar. Kesibukan karier dan bahana panas baran dalam rumah tangga dekad sembilan puluhan yang menjadikan ruang tidak lagi selesa untuk berkomunikasi.
“Jauh termenung, sudah sampai New York?” Hashimah mengusik Kamisah sebaik melambai ke arah Shahrul yang memasuki pintu ke terminal penerbangan.
Kamisah tidak dapat berselindung, air matanya perlahan turun di pipi. Itulah kali terakhir Kamisah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Subang. Kali terakhir juga dia melihat Shahrul yang berangkat untuk melanjutkan pengajian Phd di New York.
Bersama satu rahsia yang menghantui perjalanan ruang kehidupan seterusnya.
(Julai 2007)
“Ibu tidak pernah terlepas membaca blog Diana!”
Kamisah berkata perlahan dalam bahasa Arab pasar di wad kelas pertama sebuah hospital swasta Kelana Jaya. Ketika semua pelawat telah pulang. Sengaja berbahasa Arab untuk mengelakkan difahami Danial yang lebih fasih berbahasa Perancis daripada Arab.
Mereka tiga beranak yang tinggal menemani Badrul. Baru malam pertama di wad pada hari pertama tiba di tanah air dan sudah terasa kesunyian di tanah air sendiri. Diana tersenyum.
Sepatutnya dia telah mendaftar di program matrikulasi UIA, tetapi Badrul dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit belakang sebaik mendarat di KLIA.
“Diana tahu dan tidak kisah pun!”
Bahasa Arab Diana lebih mantap dengan sebutan yang tepat. Kamisah tidak juga terkejut, sambil menoleh ke arah Badrul yang telah nyenyak tidur. Manakala Danial asyik dengan PSP sambil sesekali menoleh ke skrin TV.
Sejak Diana selesai peperiksaan gred 10 di sekolah antarabangsa kurikulum Amerika di Dubai, banyak sekali mereka berdua bercerita tentang apa sahaja yang dianggap rahsia, kecuali mengenai blog Diana.
Kamisah mahu menyimpan rahsia yang dia tahu siapa empunya blog Dilema Seorang Anak Dara Melayu di Gurun.
“Jadi Diana tidak mahu merahsiakannya?”
“Apa yang mahu dirahsiakan dalam dunia siber, lagipun apa yang Diana catat dalam blog adalah pendapat peribadi, mungkin betul mungkin salah!”
“Tetapi kebanyakan yang Diana tulis mengenai ibu adalah betul. Tajam sekali pengamatan Diana!”
Diana memandang ayahnya. Wajah Badrul pucat dan bernafas agak kuat menggunakan oksigen.
Dia tidak begitu mesra dan rapat dengan ayahnya sendiri, sejak peristiwa melihat ibunya dipukul beberapa kali. Rasa takut, marah dan dendam mengisi keremajaannya, menjadikan dia mempunyai prasangka dengan kawan-kawan lelaki yang mahu merapatinya.
“Bagaimana pula pengamatan Diana terhadap ayah, sebagai suami yang tewas dengan panas barannya. Apakah tepat apa yang dicatat Diana?”
Kamisah terdiam lama mencari jawapan. Dalam cuba menjadi lebih telus dengan Diana, tiba-tiba Kamisah terasa belum bersedia.
“Setiap manusia mempunyai kelemahan dan setiap kelemahan yang ada pada seseorang adalah dugaan buat orang lain. Ibu juga mempunyai kelemahan!”
Diana tahu jawapan ibunya lebih bersifat politically correct. Tidak mengiyakan dan tidak menidakkan kenyataan.
Tetapi ada sesuatu yang berdenyut dalam kotak fikirannya. Sesuatu yang mahu dilepaskan untuk melegakan perasaan.
Semenjak ibunya mula bercerita tentang pelbagai rahsia kewanitaan dan tentunya rahsia kecantikan.
Termasuk rahsia-rahsia peribadi, sebaik Diana selesai peperiksaan Gred 10 dan bersiap untuk ke universiti. Sebagai tanda Kamisah telah mengiktiraf kematangan anak dara tunggalnya. Juga untuk menjadi lebih rapat.
Diana menoleh ke arah ayahnya dan sekilas bertanya dengan serius ke arah ibunya.
“Bagaimana agaknya kalau ayah tidak dapat bertahan dengan barah prostat ini, bagaimana dengan rahsia hitam ibu? Apakah ibu mahu memberitahu ayah apa yang yang terjadi atau akan terus menanggung dosa untuk selama-lamanya demi sebuah rahsia?”
Biodata: FUDZAIL MOHD NOR
FUDZAIL, lulusan sains komputer dari New Zealand, bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Beliau mengetuai jabatan teknologi maklumat dan telekomunikasi di sebuah syarikat pemaju hartanah terbesar di dunia. Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com.

Wednesday, July 25, 2007

Selamatkanlah Malaysia

suara dari papan kekunci
tanpa wajah
bertopeng
sureal
menghampar gelombang
yang membawa panas lava
muntahan gelodak marhaen
dari saujana penjara realiti
yang dikelilingi tembok besi
akta-akta drakonian
memagari ketuanan kelompok elit
yang terus ketawa membuncit
membaham khazanah warisan
dulu, kini dan selamanya

kami yang celik minda
tidak dibutakan propaganda
dan segala faktor feel good
memenuhi ruang superfisial
setelah jenuh menghidu kebusukan
tahi-tahi kebobrokan
kepimpinan bangsat
tumpah terpalit merata-rata
disebalik warna-warna meriah
satu sambutan 50 tahun perayaan
kemerdekaan
kebebasan
yang maknanya semakin sempit
dikurung haloba kerakusan
hantu-hantu junta nasional
barisan yang jumud
demi survival perut

hari ini, telah bangkit
diantara imej-imej di layar
kata-kata berjalur lebar
tumbuh ikon-ikon baru
menongkah ke puncak zaman
era generasi keramat
dan memuncak satu nama
seorang anak raja
bertakhta di siber raya
negara baru malaysia-today
yang kian menggoncang
sarang-sarang perompak
yang masih diulai indah mimpi
sumbang beraja dihati
dengan kerapuhan akhlak peribadi

dari layar ke jalanraya
bergema ke planet bumi
ayuh kita gempur
dan tidak undur
dalam satu barisan rakyat
dan satu suara keramat
'selamatkanlah MALAYSIA!"

Fudzail
Dubai, UAE

Friday, July 20, 2007

PM Makan Sedulang Dengan Marhaen!

Hari pertama saya masuk pejabat Dubai Internet City (DIC) dalam tahun 2000, terpampang beberapa kata-kata hikmat terpampang di dinding. Waktu itu DIC baru beroperasi dan pejabat sementara itu masih tidak lengkap.
Salah satu kata-kata itu ialah, “In the race of excellence there is no finishing line” dan dibawahnya satu nama ‘Mohamed bin Rashid Al Maktoum’.
Sebagai seorang yang masih baru, nama itu tidak memberi apa-apa makna atau keistimewaan kepada saya. Lantas bertanya salah seorang rakan sekerja (Arab tempatan) yang nampak berbangga dan seakan memperlekeh saya kerana tidak kenal siapa lelaki tersebut.
“Itulah Putera Mahkota Dubai, de-facto emir Dubai yang mencetus idea mengenai DIC!”
DIC adalah salah satu inisiatif awal Sheikh Mohamed, yang juga dikenali sebagai Sheikh Mo. Sepanjang bersama DIC, saya selalu mendengar Sheikh Mo berada di pejabat kami tidak tentu masa, malah turut menjengah kawasan pembinaan kampus DIC di waktu malam. Beliau datang sendiri dengan kereta yang dipandu sendiri, satu yang masih dilakukan sehingga kini untuk meninjau pelbagai projek. Saya belum pernah melihat beliau diiringi oleh pengawal (atau UTK) secara dekat, mungkin dari jauh.
Dalam satu temuramah, Sheikh Mo berkata yang beliau tidak perlukan pengawal peribadi dan police riders kerana ‘Dubai adalah selamat dan saya tidak bimbang dengan keselamatan!”
Memang diketahui umum yang Sheikh Mo adalah seorang yang kuat bekerja dan mempunyai wawasan yang besar mengenai pembangunan masa depan Dubai. Dari DIC, lahirlah pelbagai projek lain yang menjadikan Dubai sebuah kota kosmopolitan yang paling pesat membangun ketika ini.
Ketika ini juga, Sheikh Mo adalah Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Emir Dubai setelah kekandanya, Sheikh Maktoum meninggal dunia awal tahun lalu.
Biografi beliau boleh didapati di http://www.sheikhmohammed.co.ae/
Sebaik Sheikh Mo dilantik sebagai Naib Presiden dan PM UAE, banyak perubahan yang beliau lakukan di peringkat persekutuan. Malah sebagai Emir Dubai, beliau juga terus secara drastik mengubah Dubai ke arah yang lebih maju dari segi prasana (terutama jalanraya dan pengangkutan awam), undang-undang dan perlaksanaan projek hartanah untuk rakyat tempatan. Beliau juga memperbaiki kondisi kerja untuk buruh-buruh yang menjadi tunjak utama pembangunan.
(Warganegara UAE mendapat pelbagai kemudahan, belanja perkahwinan, tabung perumahan dalam RM1 juta sekeluarga, pendidikan percuma ke peringkat Phd, perlindungan kesihatan, insuran diseluruh dunia dan lain-lain yang menjadikan demokrasi yang ingin dibawa oleh Amerika seakan tidak begitu bererti bila rakyat dijaga sepenuhnya!)
Komposisi jemaah menterinya menunjukkan betapa Sheikh Mo begitu yakin dengan mereka yang masih muda, mempunyai kelulusan akademik yang baik serta berpotensi dalam mengendalikan kementerian masing-masing. ‘Monitong system’ juga dibuat dalam memastikan para menterinya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sebagai PM, Sheikh Mo melawat keseluruhan UAE, terutama kawasan pedalaman. Seperti biasa, beliau turut membuat lawatan mengejut ke beberapa pejabat kerajaan dan sekolah.
Dalam satu lawatan mengejut ke mahkamah sebuah emiriyah, Sheikh Mo datang lebih awal dari hakim dan pekerja yang kebetulan memang biasa untuk datang lewat. Banyak aduan mengenai kelewatan kes yang seakan satu perkara biasa dan budaya tempatan. Beliau segera mengarahkan hakim tersebut diberi tindakan displin dan mengetatkan peraturan mahkamah. Ini juga bukanlah satu perkara luar biasa dilakukan.
Baru-baru ini beliau membawa kesemua anggota kabinet UAE untuk bermesyuarat di emiriyah Fujairah dan bermalam di sebuah Rumah Rehat di kampung Dadna. Beliau turut membawa jemaah kabinetnya belayar di Teluk Oman untuk mengingatkan para menteri tentang kehidupan generasi dahulu. Kemudian sama-sama mandi di sebuah wadi!
Selepas bersolat jumaat di sebuah masjid kampung, seorang nelayan rakyat tempatan yang dalam kegembiraan bertemu dengan Sheikh Mo, menjemput beliau untuk makan tengahari di rumah. Pelawaan itu di sambut oleh Sheikh Mo dan kesemua jemaah kabinet lelaki makan berkongsi dulang dengan marhaen di sebuah rumah kampung. Dari gambar yang tertera di akhbar dan TV, rumah itu kecil sahaja. Bahkan Sheikh Mo begitu berselera menjamah makanan masakan orang kampung!
Sheikh Mo mempunyai bakat dan aktif dalam sukan dan pernah menjadi juara menunggang kuda ‘endurance’ dunia. Selain itu Sheikh Mo adalah seorang penyair yang diakui hekebatan kreativitinya.
Sebaik menjadi PM, beliau menerbitkan sebuah buku yang dianggap penting dalam melihat wawasan seorang pemimpin baru Arab. Buku berbahasa Arab yang mengandungi 13 bab tersebut, “Wawasanku – Cabaran dalam Memburu Kecemerlangan’ memperincikan pembangunan luar biasa Dubai. Disamping memaparkan wawasan beliau yang menggerakkan kejayaan gemilang dalam merubah UAE dan Dubai sebagai pusat ekonomi dan kewangan dunia.
Menurut ramai pengulas, buku tersebut adalah salah satu buku terpenting yang diterbitkan di Timur Tengah sepanjang 50 tahun lalu. Penekanan terhadap pembangunan mengisi keseluruhan wacana termasuk strategi menghadapi globalisasi.
Ditulis secara santai dalam membicarakan subjek yang rumit seperti wawasan, kepimpinan, pengurusan negara, pengembangan kepakaran dan modal insan untuk menrealisasikan pembangunan negara.
Sheikh Mo menggunakan penglibatan harian secara peribadi beliau dalam pelbagai projek sebagai asas kerjanya sebagai PM. Pengalaman langsung beliau dalam menangani cabaran serta panduan yang diberikan kepada kepimpinan bawahan menjadikan kandungan buku ini begitu terserlah dalam menerangkan mengenai proses pembangunan dan pemodenan UAE.
Sheikh Mo boleh sahaja dianggap pemimpin baru dunia Islam yang boleh dijadikan role model. Malah buku beliau sesuai buat semua muslim, terutama pemimpin negara-negara Islam yang boleh mempelajari strategi dan perlaksaanan yang berjaya mengubah Dubai dalam waktu yang singkat.
Buku versi Inggeris akan diterbitkan tidak lama lagi.
Sesungguhnya rakyat UAE dan ekspatriat yang menumpang berteduh di UAE memang bertuah mempunyai seorang pemimpin segigih dan sehebat Sheikh Mohamed bin Rashid Al Maktoum!

Burj Dubai menongkah langit



DUBAI adalah sebuah kota yang seakan tidak mempunyai waktu untuk dibuang. 24 jam setiap hari tidak mencukupi untuk merealisasikan pelbagai perancangan dan projek yang bernilai trilion dollar dalam jangkamasa jadual terdekat dan terhad.
Kepesatan pembangunan yang melitupi setiap inci tanah gurun serta membina pulau-pulau jadian sudah menjadi sesuatu yang biasa. Walau pelik dan hairan dari mana datangnya berguni-guni wang yang dilaburkan, tetapi 'business as usual' kerana Sheikh Dubai pernah berkata, 'impossible is nothing", sama seperti iklan sebuah jenama peralatan sukan.
Lebih pelik membayangkan siapakah yang bakal dan akan mengisi semua bangunan yang sedang dalam pembinaan tersebut. Tetapi bak kata festival ketika ini, 'Dubai Summer Surprises' memang tiada yang boleh mengejutkan lagi, sehingga harga bilik hotel pun terus naik dalam musim panas, sesuatu yang dulunya mustahil!
Sewaktu saya mula bekerja di Dubai Internet City dalam tahun 2000, saya dibawa oleh bos besar yakni pengerusi syarikat dengan pacuan empat roda ke sebuah kawasan gurun yang lapang dan agak jauh dari pusat bandar. Jauh kerana tidak banyak pembangunan sepanjang lebuhraya (waktu itu) empat lorong sebelah (kini enam hingga tujuh lorong) menghala ke Abu Dhabi.
Pengerusi yang sama nama pertamanya dengan saya tersebut agak sebaya (kini adalah tokoh korporat hebat selain menjadi menteri pusat) berkata secara jenaka lebih kurang begini, "Lihat sekeliling kita sekarang, kalau kawasan ini tidak mempunyai tiga buah bangunan yang siap sepenuhnya dengan lanskap sekali dalam masa lapan bulan dari sekarang, kitalah yang akan terbenam ke dalam padang pasir ini!"
Saya tidak ketawa, bukan sahaja kerana belum serasi dengan suasana gurun dan budaya berbeda tetapi menganggap sesuatu yang gila untuk melakukannya. Membayangkan saya benar-benar akan terkubur dalam padang pasir yang luas itu. Menggerikan kerana persepsi tentang orang Arab masih sahaja berbentuk jahiliyah.
Sepanjang tempoh itu adalah penderaan secara 'profesional' buat saya yang tidak pernah terlibat dalam apa-apa projek pembinaan hartanah, hatta di Malaysia. Tidak tahu hujung pangkal mengenai kerja-kerja sivil dsbnya.
Di dera bukan sahaja kerana terpaksa belajar banyak perkara yang agak asing, tetapi terpaksa melakukan beberapa kerja serentak kerana staf tidak mencukupi.
Melakukan kerja teknikal, pembangunan bisnes, pemasaran dan juga, percaya atau tidak, sebagai sekretari kepada CEO. Sehari suntuk bekerja sehingga malam dan esok sebaik subuh terus berkejar ke pejabat. Rutin selama enam bulan yang membuatkan saya hampir saja mahu pulang ke tanahair.
Sebelum itu, saya memberitahu CEO syarikat yang membawa saya masuk dari Malaysia, "Saya tidak arif dengan perlaksanaan dan pengurusan projek sebegini".
CEO itu memberitahu dengan ikhlas, "Saya juga, kita sama-sama belajar!"
Pengalaman tahun pertama itu cukup menarik kerana saya banyak belajar dalam tempoh itu. Tidak terkira ilmu baru dengan pelbagai cabaran.
Apa yang saya anggap kerja gila rupa-rupanya bukan sesuatu yang mustahil. Dengan koordinasi dan perancangan yang baik, serta bajet yang tidak terhad, memang tiada yang mustahil.
Tepat lapan bulan kemudian seperti yang dijadualkan, Sheikh Muhamad Al Maktoum yang ketika itu, Putera Mahkota Dubai dengan penuh bangga merasmikan kampus 'Dubai Internet City' (DIC). Dan kami yang bertungkus lumus diberi penghormatan untuk bersantapan dengan beliau di istana!
Boleh dikatakan kesemua peneroka DIC dari rakyat tempatan kini menduduki pelbagai jawatan penting sebagai orang kanan Sheikh. Mereka telah membuktikan yang dengan kepimpinan yang telus dan amanah, segala cabaran rumit boleh diatasi dengan berhemah.
Secara peribadi, saya amat mengkagumi Sheikh Mohamed Al Maktoum yang bekerja keras dan mempunyai wawasan yang hebat. Malah kini sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, beliau telah merubah banyak perkara di peringkat persekutuan UAE.
Melawat hampir keseluruh UAE untuk mengetahui apa yang berlaku dan tidak kerap keluar negara (rasmi atau bercuti dengan keluarga) walau mempunyai jet peribadi yang banyak.
Pada ketika ini juga, Dubai adalah 'tapak pembinaan' yang paling besar. Di mana-mana terdapat krin pelbagai saiz dan warna yang juga dianggap sebagai 'burung nasional'. Pelbagai projek yang mengisi ruang memberikan gambaran apa yang akan berlaku dalam waktu terdekat.
Pembangunan turut membawa kesan sampingan seperti kesesakan jalanraya, kenaikan kos kehidupan, inflasi dan sedikit sebanyak peningkatan jenayah. Kota yang membangun, apalagi yang terlalu pesat seperti Dubai memang tidak boleh lari dari beberapa 'hiccups' sebagai sebahagian dari 'growing pains'.
Penglibatan saya dengan projek seperti Palm Jumeirah, Palm Jabel Ali sama menambahkan pengalaman dan meluaskan pandangan mengenai perspektif kehidupan. Apa yang dirancang tidak selalu mengikut WYSIWYG atau secantik brosur dan janji-janji iklan atau janji manis pilihanraya.
Tetapi banyak masalah boleh selesai sekiranya bijaksana serta berhemah dibawah seorang ketua yang hebat, tidak tidur sewaktu bekerja dan tidak membiarkan orang lain untuk menguruskan negara. Tidak juga mengurus secara auto pilot.
Dengan persaingan antara pemaju hartanah, Dubai semakin menarik untuk dijadikan sumber tesis peringkat MBA. Banyak yang dilakukan diluar teori dan praktikal yang pernah dilakukan sebelumnya. Hasilnya sudah banyak yang direalisasikan.
Begitupun, seorang dari bos di DIC dan pernah ke Harvard yang kini menjadi pengerusi sebuah pemaju hartanah terbesar berkata yang beliau telah membuang semua yang dipelajari di sekolah bisnes lima tahun lalu.
Apa yang dilakukan oleh Dubai memang melampaui batas teori yang diperakui. "Impossible is Nothing" ternyata bukan sekadar slogan cemerlang, gemilang dan terbilang yang tidak mempunyai apa-apa hasil.
Maka sabtu ini, 20 Julai 2007, sebuah lagi rekod yang akan dicatat di Dubai. Burj Dubai atau Menara Dubai akan menjadi sktruktur tertinggi di planet bumi. Mengatasi pemegang rekod masa ini iaitu Taipei 101.
Maklumat lanjut mengenai Burj Dubai boleh di dapati di http://www.burjdubai.com/
Beberapa syarikat dan ramai ekspatriat Malaysia yang terlibat secara langsung pembinaan Burj Dubai ini. Bagi saya dan residen Dubai lain yang tidak terlibat dengan Burj Dubai, sekadar melihat setiap hari dalam perjalanan ke tempat kerja, tentunya kami mahu juga merayakan rekod kejayaan Burj Dubai sebagai hari ini dalam sejarah.
Menara Berkembar Petronas telah lama kehilangan mahkota bangunan tertinggi di dunia, walau sedikit sebanyak ada perasaan berbelah bagi, masih saja ada kebanggaan dahulunya mengenai 'kejayaan' Malaysia Boleh. Tidak pasti kedua menara telah penuh diisi dan setimpal dengan wang rakyat yang dibelanjakan demi sebuah ikon kemegahan dan keegoan.
Begitupun, setiap kali melihat Burj Dubai makin meninggi dan ratusan bangunan tinggi lain yang berebut-rebut menongkah langit, setiap kali itu juga teringatkan hadis Nabi SAW mengenai tanda-tanda akhir zaman, salah satunya mengenai orang-orang di gurun Arab yang dahulunya pengembala kambing kemudian akan bersaing untuk membina bangunan tinggi sesama mereka.
Bukan sahaja ketinggian muktamad sktruktur Burj Dubai dinantikan oleh banyak pemaju lain yang sedang merancang pembinaan bangunan yang lebih tinggi, malah sebaik siap sepenuhnya, orang-orang di gurun ini akan mempunyai beberapa menara yang lebih tinggi demi ego dan perlumbaan rekod dan maruah kabilah.
Mungkin 10 bangunan tertinggi dunia akan terletak di Timur Tengah. Fenomena yang bakal menjadi realiti dan menyeramkan sekiranya ada bencana alam seperti gemba bumi atau tsunami.
Akhir kalam, ketika ini di UAE, wang bukan sesuatu yang menjadi penghalang dan kepakaran boleh dibeli untuk semua ini. Lantas kita sedang menyaksikan sesuatu yang tertera seperti di perkatakan Nabi SAW dahulu di depan mata. Bagi mereka yang insaf, semua ini fast forward dalam memabwa kita ke akhir zaman!

Wednesday, July 18, 2007

Bola Pun Kecut

Bola Pun Kecut

(Kami ekspatriat Malaysia di UAE sama mengucapkan takziah pada keluarga para prajurit yang terkorban dalam nahas Nuri baru-baru ini)
Saya sempat melihat siaran langsung hampir semua perlawanan kejohanan bolasepak Piala Asia menerusi pelbagai TV Arab. Kebetulan, oleh kerana perbedaan waktu (minus 4 jam), saya menonton selepas waktu kerja bersama rakan-rakan Arab tempatan dan ekspaktriat lain di sebuah kelab rekreasi pinggir bandar Dubai.
Sememangnya sukan bolasepak adalah sukan utama dikebanyakan negara dunia, termasuk negara-negara Timur Tengah. Dengan sendirinya kejohanan ini menarik minat ramai. Dengan musim panas yang memuncak dengan suhu dan humiditi, tidak banyak aktiviti di luar yang boleh dilakukan.
Apalagi, dengan kehadiran pasukan Saudi, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Iran dan Iraq, maka kami di kelab tersebut mempunyai penyokong yang agak sama rata. Para ahli kelab terdiri dari pelbagai bangsa Arab yang begitu bersemangat menyokong pasukan nasional masing-masing.
Cuma saya yang tidak menyokong mana-mana pasukan dan berkecuali walaupun Malaysia turut serta sebagai tuan rumah, terutama selepas tewas 1-5 kepada China. Bukan tidak patriotik, cuma malas menjawab pelbagai pertanyaan mengenai prestasi dan mutu permainan pasukan nasional yang seolah-olah bermain tidak atau belum cukup warm-up (meminjam kata PM satu masa dahulu mengenai prestasi beliau) sepanjang 90 minit.
Mendengar ulasan dan komen dari penonton yang kebanyakannya kaki bangku memang menyeronokkan. Mendengar cara ulasan pengulas TV juga melucukan. Suara yang bernada tinggi dan jeritan memanjang kalau gol membingitkan.
Melihat stadium yang kosong apabila bukan pasukan tuan rumah bermain, selain di KL yang juga kosong walau pasukan negara bermain, membayangkan yang tahap penonton masih dalam lingkungan sentimen tempatan. Tidak menyalahkan mereka kerana saya sendiri lebih berminat dan selesa menonton di rumah dari membayar tiket dan bersusah payah untuk ke stadium. Lainlah sekiranya ada bintang-bintang dunia yang bermain.
Sentimen patriotik dan nasionalistik (asabiyah) juga adalah sesuatu yang sinonim dengan orang-orang arab, maka sokongan padu yang diberikan kepada pasukan nasional turut disertai dengan ekspektasi yang tinggi. Para pengulas di TV boleh dikatakan berat sebelah kalau ada pasukan arab yang bermain, nasib baik mereka bukan pengadil.
Apabila pasukan UAE yang baru menjadi juara di Teluk turut rebah di Vietnam, biasalah yang para penyokong tempatan mula panas. Pelbagai kritikan terhadap pemilihan pemain dan teknik serta strategi mengisi dada akhbar sebaik tewas dengan Vietnam yang dianggap ‘minnows’. Sebelum itu, pasukan UAE menewaskan Malaysia dalam perlawanan warm-up pre-kejohanan.
Manakala kawan-kawan dari Iraq tentunya ceria dengan persembahan sebuah negara yang masih kucar-kacir dilanda perang. Melupakan sebentar pelbagai bencana yang terus mengisi kehidupan di tanahair Iraq.
Bagi mereka yang tidak mempunyai pasukan negara dalam kejohanan ini, perhatian beralih kepada pasukan yang kuat. Malangnya pasukan yang dianggap kuat seperti Australia dan Korea juga tidak seperti dijangka.
Pada hari ini, Rabu 18 Julai, saya menonton perlawanan Malaysia menentang Iran di rumah sambil mendengar celoteh beberapa orang pegawai bola di RTM 1 melalui Internet. Ahli panel kesemua datuk-datuk, dua orang ahli politik dan seorang pengarah jabatan sukan. Sepatutnya dijemput juga mereka yang membayar tiket dan yang banyak menghabis wang dan masa, iaitu penyokong yang sudah muak dan mual dengan FAM.
Lucu juga mendengar ulasan ahli panel yang mungkin masih belum kecut dengan kecaman pelbagai pihak.
Sebelum itu turut membaca pelbagai komen mengenai isu kekalahan teruk pasukan bola negara dan perletakan jawatan beberapa pegawai tinggi FAM. Juga mengenai kata-kata ‘saya bukan pengecut’ yang diluahkan oleh Presiden FAM sejak saya tahun 1984 lagi.
Saya memang tidak begitu mengikuti perkembangan bolasepak negara terutama semenjak berhijrah. Tidak tahu pasukan negeri mana yang menang piala apa kerana setelah fiasco rasuah di tahun 90han, sudah tidak percaya lagi pada perlawanan bola anjuran FAM.
Seingat saya kali pertama dan terakhir melihat pasukan nasional bermain ialah sewaktu Malaysia menentang England B dalam tahun 1991 di Stadium Merdeka. Di mana Matlan Marjan menjadi hero dengan dua gol walaupun tewas 2-4, sebelum terpalit dengan rasuah.
Saya bukan juga pakar yang tahu selok-belok pengurusan dan politik bola negara. Tetapi seperti mana kata seorang senator di TV1 dalam rancangan ‘Dari Parlimen’, ini turut melibatkkan ‘maruah’ negara. Bila berada di luar negara dan melihat pasukan sendiri dibelasah, memang amat terasa jengkel. Kalau setakat 1-0, 2-0 itu kira OK lagi, tetapi bila DJ popular diradio UAE berkata ‘the whipping boys – Malaysian team’, siapa yang tidak merasa malu. Kawan-kawan ekspatriat dari India, Pakistan dan Filipina pun sama gelak walau ‘Truly Asia’ masih menjadi destinasi popular percutian musim panas.
Kalah menang memang adat pertandingan tetapi setelah berbelas tahun, kita masih belum mencapai tahap prestasi yang pernah di kecapi, menunjukkan banyak perkara yang tidak kena. Benarlah kita 20 tahun ketingalan dengan negara-negara kuasa bola dunia seperti Brazil, Argentina dll, 10 tahun ketinggalan dengan negara-negara kuasa bola Asia seperti Jepun dan Korea. Malaysia TAK boleh! Mengapa?
Saya tidak mahu mengulang pelbagai komen, saranan dan pendapat yang kini berbuih-buih dalam siber dan luar siber, sekadar bersetuju yang para pemegang amanah di FAM yang gagal selama ini, silalah berundur diri. Nak dikata secara terhormat pun sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur basi.
Saya juga amat bersetuju bahawa kita tidak perlukan keluarga di raja dan ahli politik mahupun tokoh korporat yang menyemak, menyibuk dan membuang masa untuk menduduki kepimpinan mana-mana sukan, demi populariti dan glamour. Cukuplah dengan pengalaman pasukan bola yang kecut di padang sendiri setelah jutaan terlebur atas nama pembangunan bolasepak negara dari Semi-Pro ke Liga M.
Secara jenakanya, kami di Dubai sedikit sebanyak boleh berbangga kerana pasukan ‘Malaysia’ di Dubai menjadi juara pertandingan tiga penjuru Asean (Singapura, Indonesia, Malaysia) dikalangan ekspatriat baru-baru ini (sila lihat www.malaysian-uae.com) walau semuanya amatur dan bermain seminggu sekali, tanpa jurulatih!

Saturday, July 14, 2007

Broker, Datuk Ir Conman, SB dan Nabi Palsu

Biarpun ekspatriat Malaysia di UAE masih ditahap terlalu kecil jumlahnya, tetapi mempunyai pelbagai cerita dari pelbagai jenis manusia yang tentunya tidak mengejutkan. Selagi bernafas sebagai manusia, kepelbagaian ini juga adalah sebahagian dari panorama negara Teluk yang begitu pesat membangun untuk menrealisasikan segala wawasan kepimpinan.
Dengan pelbagai warga negara dunia menumpang rahmat dari rezeki limpahan Ilahi, UAE semestinya mempunyai 1,001 warna-warna dan wajah-wajah manusia. Kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kalau dari satu keluarga pun tidak semestinya sama haluan dan sama tujuan.
Saya tidak kenal semua warga ekspatriat Malaysia dan tentunya ramai tidak mengenali saya. Tetapi sepanjang pengalaman menetap di Dubai sejak tahun 2000, boleh dikatakan tidak juga sunyi dari mengetahui, kalau tidak mengalami sendiri beberapa peristiwa melucukan untuk dijadikan sempadan dalam kehidupan.
Apa yang ditulis sekadar iktibar untuk dikongsi.
Dalam kepesatan ekonomi dan pembangunan di UAE, tentunya ramai ahli perniagaan Malaysia yang berminat untuk melebarkan sayap di sini. Kedatangan mereka ini selalunya dengan penuh ekspektasi dalam merebut peluang disamping menambahkan keuntungan.
Kebanyakan mereka tidak begitu tahu selok-belok untuk menembusi pasaran atau mempunyai contacts tempatan. Maka muncullah beberapa individu, termasuk ekspatriat Malaysia tentunya yang menawarkan khidmat dengan pengakuan yang mereka, para broker tidak bertauliah ini mengenali ramai tokoh-tokoh korporat besar, pegawai tinggi kerajaan dan menteri UAE, sehingga mengenali keluarga diraja, kalau tidak mengenali Sheikh atau Emir atau Ruler emiriyah tertentu secara peribadi.
Seperti di Malaysia, para broker yang lebih banyak menjual air liur ini tentunya mempunyai ‘harga’ seperti komisyen berbentuk peratusan dari nilai projek. Pantang ada ahli perniagaan yang datang, mereka akan seperti lalat mengerumun dengan segala cerita yang boleh sahaja mencairkan para pendengar.
Mungkin ada diantara mereka benar-benar ‘Broker’, yang lainnya pula bertaraf ‘saudagar mimpi’. Ada yang saling menjatuhkan dan ada yang sudah dikenal pasti sebagai ‘conmen’.
Kisah paling menggegarkan ialah apabila sebuah syarikat Malaysia yang beroperasi di Dubai menggaji seorang yang bergelar Datuk Ir sebagai pengarah projek (kejuruteraan). Datuk Ir ini kabarnya membawa surat dari Putrajaya sebagai sokongan, mengaku sahabat baik dan orang kuat menantu PM dan mempunyai ijazah kejuruteraan. Datuk Ir juga berbangga yang dia amat rapat dengan ramai Sheikh dan pernah sekali bercerita yang dia baru balik dari solat bersama Sheikh Dubai. Memang hebat Datuk Ir yang pernah juga mengaku orang kuat pemuda parti pemerintah dan kerap membelanja ‘orang-orang besar’ parti tersebut di Dubai dengan menggunakan perbelanjaan syarikat.
Maka segala temberang Datuk Ir pecah apabila beberapa perkara yang dilakukannya tidak mengikut prosedur. Di pendekkan cerita, setelah sedikit-sebanyak kerugian disebabkan urusan bisnes yang meragukan, dapat disahkan yang Datuk Ir ini bukan sahaja TIADA datuk, TIADA ijazah, malah pernah mempunyai rekod jenayah yang sama dengan syarikat-syarikat di Malaysia. Tidak pasti apa yang berlaku pada Datuk Ir Conman, mungkin sekarang menjadi pengarah syarikat lain di tanahair dan tentunya naik pangkat kepada Dato Seri dengan ijazah Phd, Dato Seri Dr. Conman!
Salah satu lagi karektor yang mungkin tidak kurang hebat ialah kehadiran ‘SB’ di tengah komuniti ekspatriat Malaysia. Tidak pasti kesahihan mereka yang dikenali sebagai ‘SB’ tetapi kehadirannya mungkin sekadar gimik. Kalau dia benar-benar seorang SB atau informer maka dia bukan seorang SB yang hebat, kerana semua orang tahu dia seorang SB.
Ada juga yang mengaku sebagai ‘ejen Interpol’ disamping membuka bisnes sebagai ‘broker’ dengan menggunakan alamat pejabat di flet sewaan dan syarikatnya tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan. Hebat seorang ‘ejen Interpol’ yang mengaku menjadi ejen kepada orang lain.
Satu lagi karektor aneh ialah bekas ‘Nabi Palsu’ yang pernah di hadapkan ke mahkamah tanahair kerana membawa ajaran sesat, melarikan diri ke UAE dan menjadi seorang ahli bisnes.
Kali pertama berjumpa dia mahu mengembangkan sayap perniagaan dalam bisnes perisian yang dikatakan bakal menandingi Microsoft. Kemudian membuka bisnes menjual produk telekomunikasi yang boleh menggugat Nokia di Sharjah.
Akhir sekali berpindah ke Abu Dhabi dan membangunkan perisian perisikan yang boleh mengetahu hatta seekor lalat menceroboh ruang angkasa.
Lebih hebat nabi palsu ini berjaya mendapat pelaburan melebihi sejuta ringgit dari seorang Arab tempatan yang kelabu mata apabila dijanjikan perisian ini mampu menjadikan dia sekaya Bill Gates. Arab tersebut bukan calang-calang orang kerana berpangkat besar. Lantas si nabi ini bertukar dari papa (kena halau dari penaja di Sharjah kerana disyaki menipu) menjadi hartawan, memiliki dua kereta mewah dan dua apartment mewah dengan wang pelaburan ‘skim cepat kaya’ yang dijanjikan.
Kawan kepada Arab tempatan ini mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan membuat risikan sendiri. Perisian perisikan hebat ini yang dibangunkan melalui server ‘kotak hitam’ ini rupanya hanyalah PC biasa yang tiada mengandungi apa-apa selain perkakasan sahaja.
Malangnya si Arab yang termakan segala kehebatan perisian tersebut tidak mahu mendengar nasihat sahabat baiknya dan lebih mempercayai nabi melayu yang rupanya tidak juga mempunyai apa-apa ijazah.
‘Melayu Boleh’ kerana sewaktu di UAE, si nabi membawa ketiga-tiga isterinya tinggal serumah. Menurut lapuran arkib akhbar mengenai kes ajaran sesat yang dibawanya, si nabi melayu ini pernah bernikah batin dengan sepuluh orang isteri.
Begitupun, kini syarikat hebat nabi palsu itu tidak ujud lagi dan tidak pasti kemana nabi melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang tersebut membawa diri bersama isteri-isteri dan pengikut-pengikut setia. Mungkin bersama ayah pin di langit!
Dengan kehadiran lebih ramai ekspatriat Malaysia, tentunya kisah-kisah sebegini semakin juga bertambah, Malaysia Boleh!

Salik Dan Celik Tol

Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.2

Salik Dan Celik Tol

Tepat seminit selepas 12 malam 1 Julai 2007 membuka lembaran sejarah baru buat UAE dengan berkuatkuasanya ‘Salik’ (www.salik.ae), sistem tol di Jalan Sheikh Zayed, Dubai.
Selepas lebih setahun kabar angin, ura-ura perlaksanaan dan diikuti dengan pengumuman mengenai tol di Dubai, pada hari ini ‘Salik’ (bermaksud ‘clear’ atau ‘lancar’) menjadi sebahagian dari elemen kehidupan di Dubai.
Perubahan mendadak yang mungkin tidak terfikir buat penghuni Dubai, terutama ekspatriat yang sejak beberapa tahun kebelakangan terpaksa berdepan dengan inflasi, kenaikan sewa rumah yang melampau, yuran persekolahan anak-anak serta peningkatan lain kos kehidupan.
Kejatuhan nilai USD juga membawa kesan yang sedikit sebanyak menambahkan beban kerana penambatan AED (Dirham) kepada USD. Kerajaan UAE mengumumkan tidak akan menjejak langkah Kuwait yang mula melepaskan Dinar dari tambatan USD bagi mengelakkan kejatuhan nilai.
Dengan kehadiran Salik, walau sebenarnya tidak begitu membebankan ramai penghuni kerana hanya melibatkan sebatang jalan paling sibuk sepanjang 20 km, dari jambatan Garhoud ke kawasan Barsha sebenarnya membawa implikasi lain dari segi pradigma minda dan persiapan untuk pelbagai inisiatif cukai, termasuk VAT dan cukai pendapatan.
Salik adalah sistem tol terbuka, tidak tertutup seperti di Malaysia. Hanya dua gerbang tol dan setiap kali melintasi setiap satu gerbang ini, bayaran AED4 dibuat melalui pelekat canggih ‘Salik’ yang menggunakan teknologi RFID yang diletakkan di cermin kereta. Bermakna kalau menggunakan Jalan Sheikh Zayed dari Garhoud ke Barsha tanpa keluar menuju Jabel Ali, pengguna membayar AED8 dan kalau balik menggunakan jalan yang sama, sekali lagi AED8. Maksimum bayaran adalah AED24 sehari biar melalui gerbang berulang kali.
Begitupun dengan sistem terbuka, banyak jalan alternatif untuk mengelakkan dari membayar Salik. Keluar masuk ke Jalan Sheikh Zayed melalui jalan lain selain dua gerbang tersebut adalah banyak. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan atau RTA (http://www.rta.ae/) juga menyediakan papan tanda yang banyak untuk memudahkan pemandu keluar tanpa bayaran Salik.
Pada hari pertama, kesesakan dan kekalutan berlaku di jalan-jalan alternatif ini kerana ramai pemandu masih belum memahami keadaan serta pelbagai ekspektasi walau pengumuman, informasi serta iklan begitu meluas di buat. Perkara biasa kerana ramai yang ambil mudah.
Begitupun beberapa hari sebelum pelancaran, pelekat Salik habus dijual dan RTA terpaksa menambahkan penghantaran ke outlet yang ditentukan seperti stesen minyak. Kekalutan turut berlaku kerana tidak seperti kita di Malaysia yang dibesarkan dengan tol dari mata dicelik, kebanyakan di sini adalah buta tol.
Gerakan anti-salik melalui siber (http://www.petitiononline.com/RtaSalik/petition.html) juga berusaha untuk mengumpulkan tandatangan sebagai petisyen membantah kehadiran Salik.
Menurut RTA, Salik ‘hanya’ memberi pendapatan sebanyak AED700 juta setahun berbanding kos peningkatan jalan raya di Dubai sebanyak AED100 bilion!
Kesesakan jalanraya di Dubai menjadi fenomena yang merimaskan sejak empat tahun lalu bersama pembangunan pesat yang mengubah wajah kota kosmopolitan Timur Tengah ini. Perjalanan memakan masa yang panjang terutama buat mereka yang bekerja di Dubai tetapi menetap di Sharjah, emiriyah jiran yang masih murah dari segi sewa rumah, berbanding Dubai.
Jalan Itihad yang menyambungkan Dubai-Sharjah menjadi tempat letak kereta yang panjang setiap pagi. Bukan tiada jalan alternatif seperti lebuhraya Emirates, cuma jalan Itihad lebih pendek dan terus masuk ke Dubai.
Dari lapuran akhbar, dengan Salik menjadi pintu gerbang masuk ke Dubai melalui Garhoud, mereka yang tinggal di Sharjah hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit untuk ke pejabat di Jabel Ali. Berbanding sejam hingga dua jam sebelum ini.
Tentunya AED16 sehari membayar Salik tidak membebankan kerana kini tidak perlu menghabiskan sehingga empat jam untuk berulang-alik setiap hari. Tidak dikira dari duit minyak dan stress dengan traffic jam.
Bagi mereka yang masih belum menggunakan Salik seperti saya, musim panas ini masih selesa untuk melalui jalan alternatif. Cuti sekolah serta ramai ekspatriat yang balik bercuti mengurangkan jumlah trafik dan masih boleh memandu tanpa kesesakan walau sedikit jauh kalau tidak melalui Jalan Sheikh Zayed.
RTA atas arahan Emir Dubai, juga terus cuba melegakan pemandu seperti membina jalan-jalan baru, menaik-taraf jalan-jalan sedia ada, membina jambatan baru termasuk jambatan terapung menyeberang creek (kini ada tiga jambatan).
Jambatan baru Garhoud dengan 12 lorong bakal siap dan jambatan lama akan diruntuh. Terowong Sindagha juga sedang dinaik taraf. Creek Dubai adalah sungai buatan yang memisahkan Dubai kepada Bur Dubai dan Deira. Dengan kesibukan antara dua daerah bisnes ini, creek juga terpaksa dinaik taraf termasuk pengangkutan air yang dimodenkan dan dibanyakkan lagi.
Monorail sedang dibangunkan melalui Metro Dubai (http://www.dubaimetro/.info) dan bakal beroperasi menjelang akhir 2009. Konsortium dari Jepun dan Turki mendapat kontrak. Beberapa syarikat Malaysia selain ramai warga Malaysia turut terlibat dalam projek bernilai AED16 bilion ini.
Dubai akan terus berkembang dengan pelbagai projek yang sedang dan akan di bangunkan. Prasana jalanraya dan pengangkutan akan terus dihambat oleh pembangunan pesat dan RTA akan terus terpaksa berusaha mengatasi kesesakan serta masalah berkaitan secara perancangan jauh ke depan. Dubai menjangkan penduduk bertamabah ke 10 juta, sesuatu yang tidak mustahil.
RTA turut menaik taraf sistem bas, teksi (yang menggunakan kereta Camry dan yang sekelas), abrar (bot creek) serta kemudahan yang berkaitan seperti hentian bas.
Tiada kesudahan sehingga Dubai sudah lengkap sebagai kota maju dengan sistem pengangkutan yang canggih, lapangan terbang terbesar di dunia dan antara pelabuhan yang tersibuk dan termaju di dunia.
Lantas bermula dengan Salik, warga Dubai menjadi celik tol kerana tol di Jalan Sheikh Zayed, bukanlah yang pertama dan terakhir!

Wednesday, July 11, 2007

Kini Dubai Online 2.0 di klpos.com

Kolum ‘Dubai Online 2.0’ oleh Fudzail
No.1

AED diratah RM

Tidak pasti berapa ramai jumlah ekspatriat Malaysia yang sedang bernafas di bumi UAE. Dengar kabarnya sudah melebih tiga ribu orang. Memang agak ramai berbanding sewaktu saya tiba di tahun 2000 dahulu.
Tetapi jumlah seramai ini masih lagi minoriti yang kecil berbanding pekerja migran dari negara lain terutama India, Pakistan, Bangladesh, Filipina, UK, Australia, Afrika Selatan, Iran dan negara-negara Arab. Ada jumlah warga luar yang melebih dua juta kalau tidak dalam angka ratusan ribu.
Dikatakan hampir semua warga dari negara-negara anggota PBB mempunyai wakil di UAE. Warga bumiputera atau tempatan atau ‘locals’ hanya dalam sekitar paling tinggi 20% dari jumlah 4 juta lebih penghuni.
Hampir semua ekspatriat Malaysia adalah profesional terutama dalam sektor penerbangan, perbankan dan pembinaan. Oleh kerana itu, warga Malaysia mempunyai kedudukan yang agak istimewa di mata ramai warga lain. Penting dijelaskan yang tiada pelajar Malaysia di universiti tempatan, selain anak-anak ekspatriat yang menetap di sini.
Dalam pembangunan pesat yang mewajah perubahan ketara secara fizikal di Dubai dan Abu Dhabi (seperti bangunan baru yang telah, sedang dan akan dibina berjumlah lebih 1,000), peluang perniagaan dan kerja adalah begitu luas (Untuk maklumat kerja, sila ke kerjadubai.blogspot.com).
UAE bukan sahaja mempunyai warga tempatan yang minoriti tetapi juga tidak cukup mereka yang mempunyai kepakaran. Hampir kesemua sektor memerlukan warga luar untuk menggerakkannya.
Realitinya, oleh kerana warga tertentu seperti dari India dan Pakistan menguasai kebanyakan peringkat kerjaya (juga bisnes) terutama bawahan, tidaklah sebegitu mudah bagi warga lain menembusinya. Agensi-agensi pekerjaan juga di kuasai mereka, lantas banyak permohonan yang lebih baik dari calun Malaysia sekadar jadi simpanan.
Para“Mafia” ini begitu menjaga ‘kawasan’ kubu dan cartel serta network masing-masing. Kedapatan syarikat yang semuanya berasal dari satu kampung di India!
Tidak dapat dinafikan, dibawah suasana harmoni, muhibbah dan aman ini memang ujud prasangka, diskriminasi dan perasaan anti kepada warga lain. Tetapi oleh kerana UAE adalah lombong emas yang masih banyak untuk di gali dan semuanya ke sini untuk mencari duit selain mengumpul kekayaan, semua yang negatif ini menjadi lapisan gunung berapi yang masih boleh di kawal.
Statistik terbaru, ada ratusan ribu bertaraf jutawan di UAE, termasuk beberapa warga Malaysia. Oleh kerana itu tidak heran apabila pelancaran projek hartanah, semuanya habis dalam tempoh singkat walau sebuah flat satu bilik puratanya berharga RM300 ribu dan banglo paling murah dalam RM3 juta.
Begitupun, ekspatriat Malaysia di UAE yang terus meningkat ini tidak dapat lari dari aliran pemikiran ala Malaysia. Terbawa-bawa dengan kondisi politik dan sistem pecah-perintah.
Keadaan yang sama dikebanyakan negara lain, ekspatriat kita sukar untuk bersatu. Tiada persatuan komuniti Malaysia kecuali secara on-line di www.malaysian-uae.com yang lahir dari komuniti yahoogroup (http://groups.yahoo.com/group/malaysian-uae/).
Komuniti ini banyak mengadakan aktiviti seperti karnival sukan, pertandingan futsal, sambutan ramadan, hari raya dan usrah.
Menurut cerita dari sumber, grup ini tidak disenangi oleh pihak tertentu yang mewakili kerajaan Malaysia dan aktiviti-aktiviti mereka tidak disertai oleh wakil-wakil kerajaan. Ada larangan rasmi dikeluarkan untuk kakitangan kerajaan Malaysia. Ada mereka yang diberi amaran hanya kerana menyertai aktiviti main bola!
Sekiranya ini adalah benar, persoalannya ialah apakah mereka yang dihantar ke sini untuk bertugas dengan dibayar gaji oleh rakyat atau mahu bermain politik.
Manakala majlis-majlis rasmi termasuk hari raya, kemerdekaan dan keramaian untuk menteri yang melawat UAE, pihak kedutaan juga hanya menjemput mereka yang tertentu sahaja dikalangan warga Malaysia. Bagi yang lain, mereka seakan tidak ujud dalam pengkalan data yang ada di pejabat, selalu alasan yang diberi ialah tidak cukup bajet. Tetapi ramai yang bukan rakyat Malaysia mendapat jemputan.
Melucukan ada majlis hari raya dianjurkan mereka secara ‘pot luck’ walhal tentu ada elaun untuk majlis seperti ini. Bukanlah warga ekspatriat Malaysia tidak mampu tetapi mana ada kelasnya begitu.
Lebih dari itu, Majlis Bisnes Malaysia di UAE (MBM) yang pernah ditubuhkan dibawah restu kedutaan juga dua tahun lalu tidak nampak hasilnya. Mungkin saya tidak tahu kerana tidak terlibat secara langsung sekadar dari luar, tetapi harapannya, majlis seperti ini akan dapat lebih aktif dan bukan sekadar demi kepentingan individu tertentu (seperti juga cerita di Malaysia, hanya untuk kroni)
Bagi saya, kita mesti menggalakkan lebih ramai ekspatriat Malaysia untuk bermastautin di UAE, sama ada untuk berniaga atau bekerja. Ini mungkin boleh membantu Foreign Direct Investment (FDI) seperti mana warga India, Pakistan dan Filipina menghantar pulang trilion ringgit setiap tahun, lebih banyak dari FDI dalam sektor lain untuk negara masing-masing!
Rasanya dalam keadaan sekarang, negara kita memang memerlukan FDI dalam bentuk penghantaran wang ekspatriat. Glokal atau tidak, warga ekspatriat kita boleh membantu perdagangan dan impot produk negara secara langsung.
Cuma pada ketika ini dengan nilai US Dollar yang jatuh (dirham atau AED ditambatkan ke USD), dan setelah RM diapungkan secara terurus, maka pertukaran dari AED ke RM adalah merugikan. Tidak lagi menguntungkan seperti dahulu. Pendapatan juga sedikit susut dari nilai RM.
Ekspatriat Malaysia tentunya mengeluh tetapi apakan daya, begitulah realiti semasa!

(Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com serta kerjadubai.blogspot.com)

Sunday, July 08, 2007

Kita Di Puncak Usia

(Berita Minggu 8 Julai 2007)

KITA DI PUNCAK USIA

Satu wajah yang diam
di antara bayang-bayang
menular dan melingkar
dalam seribu sangkar
masih mewarnai kata-kata
tersirat tanpa suara.
Bicara yang terputus
sepanjang musim kudus
terlontar ke gaung masa
terburai ke merata suasana
menjadi imej-imej gerhana
di hari-hari berkelana.
Kita bahagia di puncak usia
menuai ranum cita-cita
bersama jiwa yang terperangkap
dalam satu ruang landskap
dan tidak mungkin berpaling lagi
ke setiap jejak arah memori!
FUDZAIL
Palm Jabel Ali, Dubai.

Tuesday, June 26, 2007

Summer Bachelor Begins

My family flew home today.
My wife was busy preparing the whole luggage while completing her research work (to and fro Abu Dhabi). She would like to immediately visit our uncle who is still in coma after a freak accident in kampung.
Abang brought along his guitar and would like to taste the char kow teau. I met his principal in the morning about getting him to sit for O level next semester instead another year. The principal was supportive as Abang is the best student. We are planning for him to enrol at the varsity earlier than schedule.
Abang Ngah went to school this morning as he has really been enjoying his friends (well, girlfriends) and he was very disappointed of not going to school prom, scheduled on Thursday. We bought him a pair of a new suit and wrote a letter to the Principal requesting the prom to be carried forward, but unsuccessful.

Abang Ngah was acting in a school theatre production last Wednesday, "Macbeth" and his 'silence movie' act was good enough to receive standing ovation.

Baby Muhaimin was excited all the way and busy preparing himself. We bought a big bear toy for his baby cousin and he was the one who excited. He had spent most of his life in Dubai for last eight years and only in Malaysia during summer, hence, he was really looking forward to being there, especially with opah, jadah and other immediate family members.

I am now officially a summer bachelor until early August!

Friday, June 22, 2007

07.07.07

(Satu)

Bermula dari satu hembusan dan hembusan itulah yang tiba-tiba melebarkan pertanyaan. Hati pun berdetik dengan persoalan. Sesuatu yang tidak terduga oleh persepsi selama ini. Ternyata saya masih belum mengenali dirinya sepenuhnya.

Dalam baju abaya hitam dan tudung yang menampakkan sedikit jambul, Rana tidak teragak-agak lagi terus menghembus asap rokok. Hanya sebatang rokok katanya berulang kali dan dia tidak peduli kalau saya jelik.

Tetapi sebatang menjadi dua dan seterusnya separuh kotak menyerap ke seluruh batang tubuhnya.

Saya peduli, jelik dan terkeliru dengan tindakannya itu. Sesungguhnya saya memang peduli kerana dia bukan sekadar seorang kawan. Seketika saya serba-salah bercampur marah sambil merenung wajahnya sambil cuba memahami keadaan. Bertanya, apakah wanita Arab sepertinya juga menghisap rokok?

Kami sudah kenal lama dan dia tidak pernah berbuat demikian di depan saya. Sudah hampir tujuh tahun mengenalinya semenjak saya menjadi ekspatriat di Dubai. Di hari pertama kerja, sama-sama menjadi staf bahagian projek hiasan dalaman. Bergelumang dengan pelbagai projek dan tujuh tahun kemudian, Rana adalah bos.

Bos yang juga kawan rapat sebagai kakak dan adik. Dia adik dan saya kakak. Tetapi masih sahaja mempunyai hubungan profesional yang juga mantap. Gandingan dua wanita yang sama-sama menyambung karier di dunia lelaki yang penuh persaingan dan prejudis gender.

Saya masih juga menjadi perekabentuk kanan tujuh tahun kemudian. Walau sebenarnya jauh lebih berpengetahuan dan senior dari Rana. Tetapi realitinya, sebagai emirati yakni bumiputera tanah emiriyah ini, Rana mempunyai kelebihan dalam mendaki tangga korporat. Dasar diskriminasi untuk memberi ruang pada bumiputera bersaing di tanahair sendiri di mana mereka adalah minoriti.

Realitinya juga, Rana memerlukan seorang staf dibawahnya seperti saya yang boleh menjadikan dia kelihatan hebat. Saya tidak peduli mengenai sktruktur organisasi, kerana imbuhan yang baik sudah cukup menjadi sandaran. Lagipun saya adalah orang nombor dua dan Rana tahu saya bukan pesaing untuk merampas jawatannya.

“Tujuh tahun mencurah keringat, ekonomi Dubai terus melonjak dan berkembang. Mengapa kita masih makan gaji?”

Tiba-tiba Rana menyentap suasana. Menyurai alir fikiran yang berserabut dengan bau asap rokok. Berkecamuk dengan pelbagai persoalan mengenai kelakuan hilang tabiat.

Mungkin Rana sedang kemabukan dengan tembakau.

Tetapi kata-kata itu seakan sesuatu yang datang dari langit. Waras dan penuh hikmah di waktu kehidupan makan gaji semakin membosankan dan tidak lagi mencabar di gurun arabia.

(Dua)

Rana hanya tersenyum apabila saya mengulang kejelikan peristiwa beberapa malam sebelumnya. Sesuatu yang masih mengganggu minda.

“Kamu masih tidak mengenali saya dan mungkin juga saya masih belum kenal kamu sebagaimana sepatutnya, bukan sekadar superfisial dan penuh hipokrasi untuk menjaga hati!”

Mungkin begitulah hakikatnya. Saya hanya tahu dia sudah menghampiri empat puluhan dan masih belum berkahwin. Tidak juga menampakkan mahu berkahwin walau mempunyai wajah yang boleh dikategorikan sebagai cantik jelita.

Masih belum ada jodoh atau sengaja mahu menjadi wanita yang bebas dari kongkongan. Bukan juga luarbiasa di bumi emiriyah. Sudah jadi fenomena yang melengkapkan pertumbuhan pesat ekonomi sebuah ruang kosmopolitan. Mengeruhkan statistik kelahiran orang emiriyah dan menambah ketidakseimbangan sosial.

Aruah ayah Rana adalah seorang Emirati, bumiputera emiriyah yang berketurunan Badwi. Ibunya adalah isteri kedua, ayah Rana, seorang kaki-tangan kerajaan berjawatan pegawai pentadbir mempunyai empat isteri. Isteri pertama seorang wanita emirati, ibu Rana dari Palestin, ketiga dari Lebanon dan keempat dari Iran.

Rana mempunyai lima belas orang adik beradik. Dia anak nombor tujuh. Adik-beradiknya tidak rapat kerana berlainan ‘darah’ Arab, malah berlainan wajah dan warna kulit. Manakala ibunya dianggap rakyat emiriyah kelas kedua kerana berasal dari Palestin, negeri yang masih dalam pendudukan Israel. Wajah Rana seiras dan secantik ibunya. Rana juga kuat nasionalisme Palestin walau tidak pernah bernafas di bumi Palestin.

“Untuk menjadi rakan bisnes, banyak lagi maklumat peribadi yang perlu diketahui mengenai diri masing-masing. Kita mahu bersama dalam penerbangan jarak jauh dan tentunya kena banyak bersabar dengan tabiat dan tingkah laku rakan bisnes yang mungkin jelik dan kurang menyenangkan!”

Rana sekali lagi mempamerkan kewarasan. Sesuatu yang selama ini kurang menonjol. Lebih bersikap keanak-anakan dan tidak matang. Seorang bos yang kurang wibawa.
Sudah masuk tujuh hari kami berbincang untuk terjun dalam bidang bisnes bagi merebut peluang emas pertambahan pesat ekonomi. Dengan ratusan bangunan, puluhan ribu apartmen dan banglo yang sedang dibina, hiasan dalaman adalah satu bisnes yang cukup besar untuk diterokai.

Mengikut kehendak undang-undang Emiriyah, setiap syarikat yang mahu beroperasi di bumi emiriyah memerlukan seorang penaja dari warga emiriyah.
Tentunya Rana akan menjadi penaja. Bersetuju dengan perkongsian 51%-49% serta modal yang dikongsi bersama, selain kalau ada dana dari sumber lain. Syarikat usahasama dua wanita, seorang dari emiriyah dan seorang dari nusantara.

(Tiga)

“Macam saya sendiri, nombor bertuah feng shui kamu ialah tujuh dan arah terbaik kamu dari selatan utara!”

Rana tersenyum sambil mengerling kepada saya. Manakala Proshat, wanita Iran yang menjadi pakar feng shui itu semakin serius. Proshat masih muda, baru dua puluh lima tahun.
Rana mendapatkan khidmat Proshat untuk menentukan lokasi premis syarikat yang sedang dalam perancangan, nama kodnya, tu7uh. Mungkin bukan satu kebetulan. Angka tujuh seakan menentukan pelbagai keputusan yang diambil Rana.

Tindakan ini memang mengejutkan. Entah bagaimana Rana boleh terpengaruh dengan unsur-unsur feng shui. Ternyata saya masih belum mengenali Rana, yang kini mahu menjadi ahli perniagaan dan bakal menjadi rakan bisnes saya.

“Jangan salah faham, feng shui bukan bererti menggantung peralatan agama orang-orang China. Bukan mengenai katak, anjing atau kura-kura dan menjadikan pejabat atau rumah sebuah zoo. Ianya mengenai menjadikan setiap sesuatu mengikut arus lantas memastikan kamu mempunyai persekitaran terbaik untuk berjaya dan mendapat keuntungan!” Sambung Proshat apabila melihat wajah berkerut saya yang seakan mengambarkan tidak percaya.

Dengan bayaran RM500 sejam, Proshat ternyata cukup mahir dan begitu profesional. Setelah bertanya mengenai tarikh lahir saya, Proshat membuat perkiraan dan memberitahu yang nombor bertuah saya juga, tujuh.

Gembira sekali Rana mendengarnya. Seakan begitu bertuah mempunyai rakan bisnes yang sama-sama nombor bertuahnya juga tujuh.

Setelah ditanya, Proshat memberitahu dia belajar di Malaysia selama empat tahun mengenai feng shui dan apabila mengetahui saya berasal dari Malaysia, Proshat segera lebih mesra. Dia lebih terkejut apabila mengetahui latar belakang saya.

“Tetapi kamu seakan tidak begitu yakin dengan feng shui, kenapa?”

Pertanyaan Proshat itu dijawab oleh Rana dengan nada sindiran dan ketawa. “Dia memeluk Islam tujuh tahun lalu dan mahu melupakan praktis bangsanya sendiri, dia mahu murtad dari bangsanya sendiri!”

(Empat)

Lokasi pejabat yang telah dipilih oleh Rana terletak di tingkat tujuh, bangunan nombor tujuh dari permulaan Jalan Sheikh Zayed, jalan paling panjang, paling sibuk dan paling glamour di kawasan bisnes kota Dubai. Nombor pejabat juga adalah 707.

Proshat ternyata dapat mempengaruhi Rana yang semakin kemaruk dengan feng shui. Sehingga mahu menjadikan Proshat salah seorang rakan bisnes. Sesuatu yang saya tidak bersetuju dan nasib baik Proshat tidak berminat, lebih suka bersendirian kerana lebih feng shui dan menguntungkan. Lagipun dalam keadaan politik semasa di Teluk, adalah lebih baik sekadar menjadi pelanggan kepada Proshat.

Rana mahukan perkongsian bestari kerana praktis feng shui dan hiasan dalaman mempunyai kaitan rapat. Sesuatu yang boleh menjadikan bisnes lebih nilainya. Lantas bermula dengan lokasi dan hiasan pejabat syarikat sendiri.

“Semuanya nampak sempurna, dari sini nampak Teluk Arabia, di depan sana Burj Dubai, bakal bangunan tertinggi dunia dan Business Bay yang bakal mempunyai 70 buah menara. Stesen LRT Metro Dubai juga berdekatan!”

Begitu yakin Rana, pengarah urusan tu7uh, syarikat hiasan dalaman yang baru didaftar.
Tetapi dia terlupa yang tol di Jalan Sheikh Zayed juga akan bermula pada bulan tujuh. Ramai yang mengelakkan Jalan Sheikh Zayed kerana bayaran tol masuk RM4 dan keluar juga RM4 adalah tinggi.

Saya pun ada sedikit kesangsian dengan lokasi pejabat. Bisnes yang berjaya tidak semestinya berpandukan feng shui walau Donald Trump turut menggunakan feng shui.

(Enam)

“Saya telah mencampakkan keluar tingkap apa yang saya belajar di sekolah bisnes Harvard lima tahun lalu, di Dubai, tiada yang konvensional dan segalanya mungkin!”

Tergiang kata-kata Muntafiq, tokoh korporat ternama sewaktu majlis pembukaan projek baru yang bernilai ratusan bilion. Projek pembinaan pelbagai taman tema di satu kawasan yang dikatakan menjadikan Dubai sebagai destinasi pelancungan utama dunia dengan 20 juta pelancung setiap tahun.

“Dubai memerlukan lebih ramai usahawan muda, termasuk wanita profesional untuk melebarkan ekonomi serta mencipta pekerjaan kepada lebih ramai orang. Kita memerlukan lebih banyak syarikat yang inovasi dan berdaya saing, terutama dari kalangan warga wanita emirati untuk sama-sama menikmati limpahan ekonomi!”

Kata-kata Muntafiq itu jugalah yang menaikkan semangat kami. Setelah tujuh tahun, mungkin ini masanya telah tiba untuk berdikari.

Kami telah membuat penyelidikan mengenai peluang dari rangkaian pelanggan yang sedia ada di syarikat sekarang. Bisnes melalui kenalan dan rangkaian sebegini memang lebih baik. Malah ramai dari mereka memberi sokongan. Hasil kerja kami selama ini memang mendapat pujian dan semua berpuas hati.

Walaupun sebenarnya hampir seratus peratus adalah hasil dari idea saya, kredit patut juga diberikan pada Rana yang tidak pernah cemburu dan berhasad dengki, malah menghargai saya sebagai staf yang menaikkan nama beliau juga, sebagai satu pasukan mantap.

Dari galakan kerajaan Dubai, Rana berjaya mendapatkan bantuan modal dari Tabung Usahawan Muda Emirati dan Tabung Usahawan Wanita Emirati. Semuanya lancar dan mudah kerana kami mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang baik.

(Tu7uh)

Betullah kata Rana, semuanya nampak sempurna. Hanya menunggu masa untuk kami meletakkan jawatan dalam masa terdekat dan menjadi usahawan sepenuh masa.

“Mungkin kamu masih belum mengenali saya sepenuhnya, ada beberapa perkara lain yang kamu perlu tahu!”

Sekali lagi Rana menghembus asap rokok di makan malam meraikan penat lelah sepanjang tujuh minggu lalu. Dia kelihatan ceria dalam wajah yang berseri.

Saya cuba menahan diri dari bertanya lanjut. Membiarkan sahaja Rana melepaskan apa yang terbuku. Begitulah perangai beliau, mahu bercakap tanpa diganggu.

“Ada dua sejarah akan berlaku dalam masa terdekat pada satu tarikh yang bersejarah!”

Rana memandang jauh ke arah Pulau Palma Jumeirah yang gemerlapan dari tingkat restoran teratas Burj Al Arab, tempat kami meraikan tujuh tahun persahabatan.

Indah sekali pemandangan dengan neon-neon dari Dubai Marina yang dulunya gurun kosong melengkapkan wajah pembangunan Dubai Baru. Tujuh tahun di Dubai memang penuh perubahan.

Terutama buat saya yang berhijrah setelah gagal dalam perkahwinan tanpa anak. Selain kecundang dalam perlumbaan menaiki tangga korporat di tanahair oleh mainan politik pejabat dan ditikam belakang oleh kawan sendiri.

Siapa sangka saya tiba-tiba memeluk agama Islam setelah diberi hidayah melalui sesuatu yang tidak terduga, cerita dari Rana mengenai mudahnya menguruskan jenazah dalam Islam sewaktu ayahnya meninggal dunia. Tidak terduga kerana mati seakan sesuatu yang tiada dalam kamus kehidupan saya setelah terbawa-bawa oleh segala yang bernama wang. Detikan mengenai mati membawa saya kepada kalimah shahadah dan semakin mengenal diri sendiri.

“Tu7uh akan beroperasi sepenuhnya dan ......!” Rana terhenti lagi.

“Kamu tentu kenal Muntafiq bukan?”

Saya mengangguk. Siapa tidak kenal tokoh korporat yang segak dan kacak itu. Kenal melalui media tentunya, bukan peribadi.

“Kamu tahu yang Muntafiq adalah pengerusi Tabung Usahawan Muda Emirati yang meluluskan dana untuk Tu7uh!”

Wajah Rana semakin berseri. Memegang tangan saya.

“Setelah tujuh bulan juga, akhirnya saya bersetuju dengan tawaran Muntafiq!”

Saya seakan dapat menyambar apa yang berada di fikiran Rana. Sebelum sempat saya memulakan ayat, Rana sudah mengesahkannya.

“Ya, bersetuju untuk menjadi isteri ketiga beliau!”

Kata-kata itu bagai kilat yang menyambar Burj Al Arab, hotel termewah dunia.

“Kami akan berkahwin pada hari yang sama tu7uh bermula operasi!”

Saya tidak perlu bertanya lanjut. Dua perkahwinan bestari yang bakal membawa saya kegemilangan korporat di bumi emiriyah.

Ternyata sehingga malam itu, memang saya tidak kenal Rana sepenuhnya. Dalam kurang kematangan dan tanpa ilmu yang tinggi, Rana bijak sekali membuat strategi. Dan dia tidak bertanya dengan saya, rakan bisnesnya terlebih dahulu. Tetapi saya tidak peduli, tidak terkeliru, malah saya mula mengkagumi kepintaran Rana dalam merangka strategi jodoh dan bisnes.

Kami berpelukan bersama lagu Shakira dan Beyonce,”Beautiful Liar” yang memenuhi restoran dan saya tidak sabar menunggu tarikh itu, 07.07.07!