Saturday, October 22, 2005

Tribute Untuk Mat

Tribute Untuk Mat
(Mat Mazlan Abu : 1964-2005)


kita dipinjamkan masa
masa yang meminjam ruang
ruang yang meminjam kehidupan
kehidupan yang meminjam suka duka
suka duka itulah
yang manis tertinggal
di sebuah pusara

kita terus terhutang masa
masa yang mengisi perjalanan
perjalanan yang mengisi perasaan
perasaan yang mengisi kemanusiaan
kemanusian itulah
yang harum terpahat
di batu nisan

Mat
kita telah melalui masa
remaja ke dewasa
persahabatan melalui jiwa
pun masa yang tumbuh
adalah warna-warna memoir
untuk menatap yang masih terpinjam
dan terhutang
dalam nafas semakin pendek!

Fudzail
Dubai, UAE
Jumaat 21 Okt 2005

Exco Pemuda maut nahas jalan raya


MAT MAZLAN ABU.
--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 20 Okt. - Exco Pemuda UMNO, Mat Mazlan Abu, 41, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 30, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, Allahyarham yang duduk di sebelah pemandu, mati di tempat kejadian.

Bapa saudara Allahyarham, Md. Hassan Ibrahim berkata, Allahyarham yang juga Pengurus Besar Kanan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) menaiki kenderaan jenis Toyota Harrier bernombor JSG 5445 bersama pemandu yang juga pembantu khasnya, Mohd. Fairuz Othman, 32, dan Pengurus Kewangan Korporat YPJ, Mustapha Kamal Abdul Rahman, 40, yang duduk di bahagian belakang.

``Mustapha Kamal dan Mohd. Fairuz dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

``Saya difahamkan ketika kejadian beliau dalam perjalanan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam untuk menghadiri satu mesyuarat.

``Turut serta ialah dua lagi rakannya yang menaiki sebuah lagi kenderaan lain,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Jurucakap polis trafik pula berkata, siasatan awal menunjukkan kenderaan yang dipandu oleh Mohd. Fairuz terbabas lalu melanggar tebing jalan ketika cuba mengelak sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

``Kenderaan itu dipercayai melambung dan terbalik beberapa kali di atas jalan,'' katanya.

Sementara itu, rakan mangsa Md. Ali Zaitun berkata, beliau menaiki kenderaan lain untuk menghadiri mesyuarat yang sama setelah mereka semua memulakan perjalanan dari Johor Bahru pukul 6 pagi ini.

``Saya telah terlepas ke hadapan dari kenderaan Allahyarham lebih kurang hampir enam kilometer.

``Saya tidak tahu-menahu mengenai kemalangan yang menimpa mangsa sehingga diberitahu melalui telefon bimbit oleh pembantunya.

``Saya patah balik ke tempat kejadian dan mendapati Allahyarham yang tersepit di tempat duduknya telah meninggal dunia.

``Allahyarham tidak mengalami kecederaan yang teruk di bahagian badannya kecuali terdapat kecederaan dan pendarahan di bahagian kepalanya,'' katanya.

Allahyarham yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang dan merangkap Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pergerakan Pemuda UMNO, meninggalkan seorang balu, Mastura Salleh, 23, dan lima orang anak.

Allahyarham juga merupakan anak sulung daripada 10 beradik.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Putrajaya dan dikebumikan di Kampung Parit Jarum Laut, Bukit Gambir Muar selepas solat Asar.

Antara kenamaan dan pemimpin yang menziarahi jenazah arwah di hospital termasuklah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khalid Nordin; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dan hampir kesemua barisan Exco Pergerakan UMNO.