Tuesday, October 04, 2005

A.P. yang tak buat duit...

A.P. yang tak buat duit...FudzailSep 30, 05 12:43pm
Hidup tidak selalunya seperti paparan di dalam skrin atau komik. Tidak juga seperti realiti TV dan siri perlawanan gusti. Tetapi saya dibesarkan oleh ‘superheroes’ yang memakai seluar dalam di bahagian luar. Kadang-kadang mereka ini, seperti ahli gusti, hanya memakai seluar dalam dan layak sebagai hero, ironis sekali. Dari zaman kanak-kanak, terbawa-bawa emosi untuk menjadi ‘superhero’ dan menyelesaikan apa saja dengan kekuatan fizikal. Saya mahu jadi superman, batman, X-men, Fantastic 4 – sebagai wira untuk selamatkan dunia. Alangkah seronoknya mempunyai kekuatan dan kekuasaan sebegitu. Boleh saja saya menghabiskan kertas-kertas projek siswa-siswi tahun satu (ambil kerja sambilan dengan pensyarah untuk menambahkan pendapatan). Boleh juga menghabiskan tesis sarjana yang terbeku oleh bencana penyakit ‘writer's block’. Malangnya, saya bukan ‘superhero’, bukan juga tok bomoh yang boleh menghalau hantu dan jin dari tubuh. Hanya seorang pemuda biasa dari Kulaifornia yang tersesat di sebuah kampus universiti. Tersesat kerana tersalah membaca panduan jalanraya. Sepatutnya saya tidak perlu ke universiti dengan berhutang dari PTPTN. Baik masuk Akademi Fantasia, cukup tiga bulan boleh jadi graduan dengan rumah, kereta dan hadiah lumayan lain. Glamor dan terkenal seantero negara. Jadi wira kampung, ada kelab peminat fanatik dan diperkatakan di mana-mana. Kerana demam akademi fantasia menjelang semester akhir ini, maka hantu dan jin menjadi-jadi puakanya. Menambahkan sarang kebimbangan yang bertindak menjadi ‘firewall’ dalam kepala. Tidak menghalang virus, cecacing dan trojan. Tetapi menjadi empangan yang menghalang sungai kreativiti dan inspirasi walau hujan lebat turun. Malah teh tarek, roti canai, rokok kretek, ulangan lagu 'Beautiful' James Blunt, poster Siti Norhaliza dan Jessica Simpson, mahupun lagu-lagu patriotik bulan kemerdekaan gagal mengubah kemuraman. Tersadai di pinggiran sedar. Mabuk dalam kewarasan. Tak keruan. Nak pecah otak yang panas dibakar bara kebimbangan. Blog juga sudah lama tidak dikemaskini. Hajat mahu berkongsi dengan dunia tentang apa yang sedang mengasak minda. Setiapkali cuba menaip, kebimbangan menghilangkan kekuatan jari-jemari. Menatap skrin kosong. Sifar idea. Buntu dan beku. Apakah yang dibimbangkan? Bukan masalah cinta monyet atau kekasih awal dan akhir. Bukan kenaikan harga petrol dan inflasi. Bukan perang Iraq dan orde baru dunia di bawah neo-con. Bukan masalah negara, bukan masalah jerebu dan tentunya bukan masalah politik dunia blog yang meracau dengan pelbagai syarat tak bertulis merimaskan. Kena tautan dengan blog itu, blog ini, ‘politically correct’ dengan para blogger senior. Ping sana, ping sini. Lama-lama jadi bola ping pong. OK-lah, sebenarnya bimbang mengenai apa selanjutnya selepas tesis akhir di siapkan, dihantar, dimarkahkan oleh sang profesor bestari dan saya dianugerahkan sehelai kertas sarjana. Mahu kerja dalam dunia korporat? Mahu bersaing dengan ribuan yang masih menganggur? Bahasa Inggeris pun masih sama sahaja tarafnya dengan gred P7 dalam SPM. Sekadar boleh memesan makanan di restoran segera. Senarai orang terkaya Mahu jadi usahawan berjaya seperti mereka yang dalam senarai orang terkaya di Malaysia juga seperti mahu jadi ‘superheroes’. Taraf angan-angan. Kata seorang kawan yang masih menganggur sejak dua tahun lalu, bagus menceburi dunia bio-tek, industri akan datang yang bakal meletup-letup. Bernilai bilion-bilion dollar. Tetapi dengan sarjana sastera tanpa pengalaman industri, mungkin sekadar jadi botak. Paling mudah, terus sahaja bergelumang dalam dunia akademik. Dengan slogan, berkorban demi anak-anak bangsa. Menghuni kampus sepanjang hayat. Bersuka ria dengan siswa-siswi, dewan kuliah, kertas-kertas untuk diperiksa, gred A, B, C, D, E dan F. Kemudian sambung buat PhD, jadi pensyarah penuh, profesor madya, jadi profesor, naib rektor, kalau ada rezeki boleh juga jadi rektor. Kalau bernasib baik dengan pelbagai buku, tesis, seminar dan masuk keluar TV, radio, akhbar, majalah, ada yang menawarkan bertanding dalam pilihanraya, boleh pula jadi menteri. Tentu boleh kaya-raya. Vroooommmmm! Sekilas seorang manusia dengan Hardley Davidson mengejutkan siri drama samarinda dalam kepala. Hampir terlanggar, saya termakan jalan dan tidak melihat kiri kanan sebelum melintas. Jantung yang sudah bersarang nikotin berdenyut kencang sekejap, selaju F1 panduan Schumacher. Menoleh, bukan sembarangan Mat Rempit. Tetapi satu Amoi, gadis cun berbangsa Cina. Mata kami bertentangan. Masa itu juga walkman melagukan "Beautiful" nyanyian James Blunt. Aduh, bagai saja terhantar dalam adegan Sepet! Amoi itu berlalu dengan lirikan menikam. Vrooommmmm. Terus berlalu. Hati saya telah dibawa pergi. Beberapa minit kemudian, tepat jam 9 pagi, saya pun tiba di kawasan flet Lembah Subang yang tertera dalam kad bisnes. Sesudah turun dari bas perantara dari stesen LRT Kelana Jaya. Terpampang papan tanda di luar flet bawah berwarna oren. Sama warna protes samseng yahudi di Gaza. Memberi salam. Seorang lelaki berumur, bertubuh sasa, ada iras arwah pelakon Noordin Ahmad, muncul dan mempersila masuk. Saya ke sini setelah seorang sahabat sekursus memberi cadangan. Menurut teori budak utara itu, salah satu cara untuk menghilangkan kebimbangan, kebuntuan, kebekuan otak ialah dengan berurut. Entah betul entah tidak, tetapi saya mesti mencuba. Katanya, urat-urat yang terseliuh atau lemah dalam tubuh mesti diperbetulkan semula. Mengenangkan tesis mesti disiapkan, kertas siswa-siswi mesti digredkan, blog mesti dikemaskinikan sebelum jadi basi, maka saya segera menelefon dan membuat temujanji. "Tanggal pakaian dan pakai kain pelikat ni!" Arahan yang tegas. "Sebelum lupa, apa nama penuh anak ni?" "Saya Asmawi Pirdaus!" "Pakcik ni Ahmad Aripin, tetapi orang panggil, Ayah Pin ... tetapi bukan Ayah Pin kerajaan langit, kerajaan bumi saja!" Kami ketawa. Saya tahu dia dipanggil Ayah Pin, seperti dalam kad bisnesnya, "Ayah Pin – Pakar urut tradisional". "Saya orang panggil A.P. saja singkatan Asmawi Pirdaus! Sebab masa tahun sekolah menengah dulu ada tiga Asmawi, seorang jadi Mawi World seorang jadi Mawi samseng dan entah macam mana saya dipanggil A.P." Ayah Pin ketawa. "Kita ni dua-dua sama ada A.P! Tapi A.P. yang tak buat duit...!" Keliling dunia dengan SMS Ternyata Ayah Pin ada ‘sense of humour’. Kontraversi A.P. masih saja menjadi isu semasa. Menjadi bahan jenaka pelbagai media dan golongan. Penat juga melayan kawan-kawan dengan jenaka A.P. yang mengelilingi dunia melalui SMS. Ayah Pin membawa saya dalam bilik. Ada hawa dingin. Tanpa perabot, hanya tilam kosong. Ada juga keris tergantung. Dengan slogan, hidup Melayu dalam tulisan jawi berwarna merah. Ada banyak gambar. Gambar Tunku Abdul Rahman melaung merdeka, potret Tun Abdul Razak, Tun Ismail dan Tun Hussien. Patriotik sekali Ayah Pin. "OK. Berbaring!" Saya kurang selesa sekadar berpelikat kerana sepanjang masa dengan jeans. Ayah Pin segera mengurut dari kaki kanan. "Maaf ya A.P. Ayah Pin ni kalau berurut banyak sembang, jangan pula A.P rasa tersinggung. Kalau tak bersembang, Ayah Pin kurang laju mengurut!' Saya sudah mengaduh bila jarinya menekan tapak kaki. Mengangguk. "A.P. ni tak pernah berurut ke?" Saya sekadar menggeleng. Menahan sakit. Dalam usia 24 tahun, mana glamor pergi berurut, tidak macam pergi disko dan cineplex atau melepak di komplek membeli-belah. "Berurut ni bagus A.P. Ayah Pin berurut dan mengurut sejak umur 18 tahun lagi. Belajar lima tahun di Siam, Indonesia dan merata negeri. Kira-kira kalau masuk universiti, bolehlah dapat ijazah... tapi mana ada ijazah urut! Sijil pun tak ada!" Aduh! Saya hanya mendengar. Terus sahaja menahan sakit. Maka sesi berurut itu bakal jadi sebabak monolog. "Kamu ni banyak sangat makan mee segera, makanan segera dan merokok. Muda-muda lagi sudah banyak urat-urat tak betul ni. Tak langsung pergi senaman dan sukan. Kau tengok Ayah Pin, sudah umur 61 tahun, sebaya Mick Jagger dan sama steady... Ok cuba Ayah Pin cek hang punya anu...!" Saya jadi berdebar dan malu. Apa kena mengena dengan yang sulit? Tetapi tiada masa untuk bertanya lanjut bila tangan Ayah Pin sudah menjalankan tugasnya. "Hmm... .kalau Ayah Pin beritahu A.P. jangan marah dan kecil hati ya! Benda yang benar kadang-kadang pahit, tetapi kalau simpan boleh jadi racun." Saya menggeleng dalam berdebaran. Saya sudah terkulai oleh urutan magis Ayah Pin. "Sah kurang air mani...!" Konspirasi Yahudi? Satu dentuman bagai sebiji lagi letupan dari pengebom berani mati menggegar tengah-tengah Baghdad dan mengorbankan puluhan nyawa. Begitu hebat Ayah Pin membuat pemeriksaan batin. Mengalahkan doktor pakar. Pegang, urut dan tahu simptom. "Itulah anak-anak muda kita banyak tak tahu konspirasi Yahudi. A.P. ni pakai jeans kerap sangat, minum air gas, makanan segera, banyak gula, lemak dan garam. Semua itu konspirasi Yahudi nak menjahanamkan kita... ayam dan daging lembu tu semua mana bagus, tengok Amerika sudah penuh dengan masalah obes dan remaja buas dan seks liar. Ini seluar jeans, tahu tak seluar jeans tu boleh rosakkan kesuburan senjata sulit lelaki?" Ayah Pin seakan seorang lagi pensyarah yang membebel. Tetapi banyak pengetahuan am. "Sebab itu anak-anak Ayah Pin, Ayah Pin hanya bagi makan daging kambing dan minum susu kambing... alhamdulillah, keempat-empat semua otak geliga. Mereka juga Ayah Pin urut sejak kecil. Walau tak seorang jadi tukang urut, tetapi semua berjaya dan seorang sudah dapat Datuk. Khasiat daging dan susu kambing memang terbukti. Hang bagitahu Ayah Pin, kenapa semua nabi-nabi kita jadi gembala kambing?" Saya menggeleng. Soalan cepu mas yang tak terfikirkan sebelum ini. "Kenapa para nabi tidak jadi gembala lembu atau unta? Tentu ada keistimewaan kambing. OK. Cuba Ayah pin periksa perut hang pulak...!" Aduh. Aduh. Aduh. Jari Ayah Pin menekan perut. "Tengok ni, perut pun dah jatuh, hai orang muda, banyak yang tak kena ni!" "Ayah Pin, perut jatuh tu apa maknanya?" Itu soalan 'bola tanggung'. "Orang utara kata, ‘B-O-R-O-I’!" Saya terdiam. Memang perut sudah menunjukkan kebuncitan. Hasil usaha asyik duduk di kerusi malas buat kerja, ulangkaji, siapkan assignment, menonton TV, makan, minum dan tidor. Kerusi malas itu menjadi paksi kehidupan buat seorang ‘couch potato’. "O.K, Sekarang Ayah Pin nak naikkan balik perut yang jatuh ni! Bila Ayah Pin kata ‘inhale’, A.P tarik nafas, bila Ayah pin kata ‘exhale’, hembus nafas ikut mulut, ok?"
Saya terkejut dalam sedikit kagum. "Ayah Pin boleh cakap orang putih?" "Ayah Pin ni ada ramai pelanggan, orang putih, Jepun, Korea, China, Arab, Turki, India, Rusia, lebih kurang 5 ribu... ada doktor, magistret, peguam, artis, menteri. Malah cakap Cina dan Tamil pun boleh sikit-sikit! Kita kan rakyat Malaysia, muhibahlah sikit." Urat semua tegang... Saya menarik dan menghembus nafas seperti yang diarahkan. Bertambah peratus ketaksuban. "O.K. How do you feel now? Bladder is back in the right place..." kata Ayah Pin. Saya mengangguk-angguk. (Apa dia ‘bladder’?) "Sekarang Ayah Pin periksa belakang pula... meniarap!" Masa itu saya sudah dalam keadaan bogel. Kain pelikat luruh ke bawah. "Beritahu Ayah Pin terus-terang, betul tak sekarang ni ada masalah yang menyekat aliran darah ke kepala otak... urat-urat semua tegang ni.!" Ketika itu peratus ketaksuban sudah meningkat laju. "Masalahnya memikirkan masa depan... tengah belajar peringkat sarjana. Kalau habis nanti tak tahu nak buat apa. Nak kerja kena bersaing dengan ribuan para penganggur lain... nak berniaga pun tak tahu nak berniaga apa... masalah besar graduan macam saya!' Terdengar Ayah Pin ketawa. "Kau tengok Ayah Pin ni, sekolah rendah pun tak habis sebab perang dunia dua kali. Tapi ada juga masuk universiti dijemput untuk kajian perubatan. Jadi tukang urut pun, alhamdulillah, bolehlah beli rumah banglo dan kereta Waja untuk setiap anak dan isteri. Flet ni dibeli untuk tempat berurut saja!" ‘Superhero’ baru Saya segera menjadi taksub hampir ke maksima. Boleh saja masuk golongan fanatik. Dalam bertanya sendiri, kenapa saya tidak dilahirkan sebagai tukang urut atau anak tukang urut seperti Ayah Pin? Tidak payah susah-susah belajar teruk-teruk. Tak payah berdepan dengan pengangguran. Tidak perlu jadi ‘superheroes’ untuk selamatkan dunia. Sesi berurut tanpa disedari menjadi sesi kaunseling dan tutorial. Dengan sendirinya, Ayah Pin sudah menjadi ikon, mentor sebagai ‘superhero’ baru. Ayah Pin membuka minda dan memberi inspirasi. Saya mula berangan sendiri selepas dapat sarjana, saya akan belajar mengurut, bermula sebagai pembantu Ayah Pin. Boleh jadi kombinasi A.P. & A.P. bumiputera bertaraf glokal. Sentuhan magis aura A.P. 'World'.Tidak sedar masa berjalan begitu cepat dalam menyambung angan-angan yang merentas bumi sambil melayan Ayah Pin tak henti bersembang. Sejam setengah telah berlalu dan tersedar apabila Ayah Pin menyuruh memakai balik pakaian. Dia terus keluar. Dalam keadaan serba sakit tetapi sedap dan enak di merata badan, saya keluar dari bilik berurut dan ke ruang tamu. Sewaktu cuba menyeluk saku jeans untuk membayar upah mengurut, gadis bermotosikal Harley Davidson yang tadi hampir melanggar, tiba-tiba masuk ke dalam rumah. Dia terkejut melihat saya tetapi terus bergegas masuk ke dalam bilik satu lagi. Saya terperanjat beruk dalam terkeliru lagi menggelirukan. Saya mengerling ke arah Ayah Pin yang sedang menonton TV satelit di kerusi malas sambil menghisap rokok kretek. Tidak sangka Ayah Pin juga khaki rokok. Dia tersenyum kambing sambil menghembus asap. Seakan tahu apa yang berada dalam fikiran saya. Saya terus sahaja tergamam, menyirap darah ke kepala. Seratus peratus taksub sepenuhnya. Dalam lagu 'Beautiful' berkumandang di minda, seketika terkeliru antara untuk belajar mengurut atau mengurat, apabila Ayah Pin dengan penuh bangga memberitahu. "Itulah Cindy... isteri Ayah Pin yang nombor empat!"
FUDZAIL, siswazah sains komputer dari New Zealand dan pemenang beberapa hadiah sastera kini bermastautin di Dubai sejak 2000. Kini mengetuai jabatan IT dan jabatan telekomunikasi sebuah syarikat hartanah terbesar di dunia.