Sunday, April 24, 2005

Sajak: Notting Hill




Wajah-wajah di jalanan
deja vu menjadi sasau
dan tercari-cari dalam kesesakan
sekiranya yang tiba-tiba menegur itu
adalah suara yang hilang
setelah waktu menarik balik
kemanisan ruang usia
di memoir carik
sebuah blog tanpa nama
dan tiada pengunjung
membaca catatan yang
syok sendiri

Notting Hill, masih sama
sebuah kedai buku kecil
mengacah musim bunga
dengan jualan diskaun
dari rak-rak bestsellers
memecah jejak sentimental
yang masih terpampang
sebagai grafiti di tembok belakang
seakan terlontar ke dalam
babak-babak di rumah berpintu biru

Poster usang Julia Roberts
tersenyum bagai menegur
katanya, surreal but nice
 walau ini bukan Hollywood
tidak semua mimpi menjadi realiti
dan aku bukan Hugh Grant
segalanya sekadar sebuah filem
keajaiban fantasia sang penulis
kerana warna-warna di luar layar
kehidupan hitam putih jauh berbeda
tidak selari, berlari ke semua arah
tiada romantisnya suasana
dalam mengubah sedetik memori
dilingkaran usia dan ruang
bagai turun naik underground
dengan peringatan di mana-mana
mind the gap!


Oxford Street, London
22 April 2005